Pep Guardiola masih menunggu keputusan mengenai kecederaan buku lali yang dialami Riyad Mahrez selepas penyerang itu gagal menamatkan perlawanan berdepan Bayern Munich.

Mahrez hanya beraksi selama 28 minit sebelum dikeluarkan keranan mengalami kecederaan buku lali ketika City merakamkan kemenangan 3-2 ke atas Bayern dalam aksi Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC), awal pagi tadi.

"Saya tidak tahu, saya tidak berada dalam bilik persalinan," kata Guardiola. "Ia merupakan buku lali, kami berharap ia bukan masalah yang serius.

"Saya bimbang mengenai banyak perkara, kecederaan pemain-pemain, mereka yang masih belum menyertai pasukan tetapi saya tetap berpuas hati dengan persembahan yang telah dipamerkan pasukan," katanya.

Bernardo Silva menggantikan Mahrez dan pemain kebangsaan Portugal itu meledak dua gol untuk City bangkit daripada ketinggalan dua jaringan.

Mahrez dan Claudio Bravo sekali lagi berada dalam kesebelasan utama manakala pertahanan, Aymeric Laporte, tampil buat pertama kali sementara Leroy Sane di bangku simpanan.

"Kami telah menilai kesilapan kami dalam perlawanan sebelum ini dan bermain dengan baik hari ini. Kami bermula dengan baik dan menghasilkan banyak peluang. Kami akan berusaha untuk meneruskan rentak ini.

"City menyertai jelajah ini dengan rata-rata pemain muda dan baru. Ia adalah sangat baik buat mereka untuk memahami gaya permainan pasukan," kata Guardiola lagi.