Pep Guardiola mengakui bahawa dia tidak pasti sama ada memiliki stamina untuk mengikut jejak langkah Sir Alex Ferguson dalam membina empayar di Manchester City.

Ferguson mengendalikan Manchester United sebanyak 1,500 perlawanan sebelum bersara pada 2013 selepas membina pasukan yang memiliki kesinambungan yang tersusun di Old Trafford.

Walaupun gagal menghadirkan kejayaan ketika mula tiba di Manchester, dia menghadiahkan 38 trofi buat United, termasuk 13 kejuaraan liga.

Di bawah kendalian Guardiola, City juga melalui tempoh peralihan yang amat pantas sehingga berkemungkinan mampu untuk menjulang tiga trofi dalam musim keduanya di Etihad.

Bagaimanapun, pengendali dari Sepanyol itu sendiri tidak pasti sama ada dia mampu mengikut rentak yang pernah dipaparkan oleh Ferguson.

"Saya tidak dapat melakukannya sebelum ini, untuk kekal bersama satu pasukan dalam tempoh 10 atau 15 tahun. Saya rasa ketika Ferguson membina pasukan, dia bersama kelompok staf dan pemain yang sama dalam masa enam atau tujuh tahun.

"Kami mampu melakukannya jika sentiasa berhubung dengan baik untuk kekal selama 15 tahun.

"Bagaimanapun, saya tidak pasti sama ada saya mampu melaluinya atau tidak.," kata Guardiola.

Walaupun gagal menjulang sebarang kejuaraan, Guardiola masih menerima kepercayaan pemilik pasukan, Sheikh Mansour Zayed Al Nahyan, untuk terus mengendalikan pasukan dan bekas ketua jurulatih Barcelona dan Bayern Munich itu juga mengakui memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan budaya bola sepak di England.

"Pasukan berada dalam keadaaan baik. Musim ini, mudah untuk mengatakan bahawa segalanya berjalan lancar kerana semua orang gembira. Begitu juga musim lepas.

"Ketika dalam situasi sukar, pihak pengurusan kelab dilihat sentiasa menyokong. Walaupun meragui struktur pasukan apabila gagal menjulang piala, kami tidak pernah kesal dengan perancangan yang dilakukan.

"Saya tidak akan melupakan sokongan yang diberikan kepada saya pada musim lalu," katanya lagi.