Pep Guardiola gembira dengan kekuatan yang dimiliki Manchester City untuk mempertahankan kejuaraan sambil berkata kemenangan ke atas Chelsea, awal pagi esok, akan memastikan mereka terus mencabar Liverpool dalam baki saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.

City akan melayani skuad kendalian Muaurizzio Sarri itu dengan menyedari kemenangan dalam perlawanan tersebut akan kembali menyamakan kutipan mata mereka dengan Liverpool di puncak liga walaupun The Reds kini berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Chelsea kini di tangga kelima liga -- kedudukan di mana mereka menamatkan saingan musim lalu selepas setahun memenangi kejuaraan di bawah kendalian Antonio Conte.

Guardiola meluahkan perasaan bangganya apabila pasukannya berjaya mengelak daripada ditimpa nasib seperti yang dilalui Chelsea musim lalu.

Hanya Manchester United dapat mengekalkan kejuaraan mereka pada musim 2008-2009.

"Saya sedar sepanjang enam tahun lalu, pasukan juara tidak dapat mempertahankan gelaran yang dimenangi mereka," kata Guardiola.

"Kesemua mereka langsung tidak berpeluang untuk mempertahankan gelaran yang dimenangi.

"Kami masih mampu untuk mempertahankannya dan perkara itu membuatkan saya berbangga."

Rekod City dengan empat kemenangan berturut-turut dalam saingan liga tamat ketika mereka tewas 1-2 kepada Newcastle United bulan lalu.

Namun, Guardiola menegaskan keputusan itu tidak berpunca daripada sikap mudah berpuas hati pemainnya.

"Apabila mereka mengatakan, 'kamu memandang rendah Newcastle.' Tidak, ia salah.

"Anda tidak akan memandang rendah sesiapa apabila anda akan beraksi dalam final Piala Carabao dan masih bersaing dalam setiap kejohanan.

"Dalam musim-musim terdahulu, Leicester City dan Chelsea tidak berpeluang untuk mempertahankan kejuaraan mereka.

"Kami kini masih berpeluang untuk melakukannya.

"Kami mahu berusaha sehingga penghujung musim, perlawanan itu (menentang Chelsea) akan membantu kami.

"Jika kami menang, kami akan sentiasa bersaing untuk memenangi kejuaraan hingga ke penghujung musim," tambahnya.

Guardiola, bagaimanapun, menolak dakwaan bahawa dua keputusan seri yang diraih Liverpool sebelum bangkit menewaskan Bournemouth, malam tadi, sebagai petanda skuad kendalian Jurgen Klopp itu sudah kehilangan keyakinan.

"Saya tidak faham mengapa anda mengaitkan kehilangan empat mata dengan dua keputusan seri itu dengan kelemahan mentaliti.

"Saya tidak dapat melihat perkaitan di antara dua perkara itu.

"Mungkin mereka keciciran mata kerana Leicester beraksi baik.

"Begitu juga dengan West Ham. Ia sentiasa sukar untuk berdepan dengan skuad kendalian Manuel Pellegrini itu," katanya.