Pengendali Mancheseter City, Pep Guardiola, menyifatkan Raheem Sterling mampu menggugat mana-mana pertahanan pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) jika dia dapat menguasai kemahiran asasnya.

Sterling berhijrah dari Liverpool dengan nilai perpindahan GBP44 juta pada Julai 2015, namun gagal beraksi cemerlang pada musim pertamnya.

Bagaimanapun, penyerang berusia 22 tahun itu merupakan pilihan utama Guardiola musim ini, dengan menjaringkan sembilan gol dalam semua pertandingan.

Gandingan bersama Leroy Sane dilihat sebagai titik kebangkitan Sterling musim ini dan Guardiola percaya kedua-dua pemain muda ini masih memiliki ruang untuk meningkat.

"Sterling telah mempamerkan permainan berkualiti yang sejajar dengan tempoh masa yang diberikan untuk beraksi dalam setiap perlawanan," kata Guardiola.

"Peningkatan dapat dilihat menerusi percubaan untuk menjaringkan gol, cuba mendapatkan penalti dan bilangan gol yang dihasilkan. Sterling adalah pemain yang penting buat The Citizens."

Dalam saingan Euro 2016, England telah dikejutkan apabila tewas kepada Iceland dalam pusingan kalah mati dan Sterling merupakan antara pemain yang diserang oleh media di atas prestasi hambar The Three Lions.

Guardiola dilaporkan telah menghubungi pemain tersebut dan cuba untuk meningkatkan semangat pemain itu dan beliau amat gembira usahanya membuahkan hasil sejak mengambil alih tugas yang ditinggalkan oleh Manuel Pellegrini.

"Sejak awal musim lagi, saya sangat gembira menyaksikan Sterling beraksi.

"Saya gemar melihat pemain sayap melakukan larian memintas pertahanan lawan, dia memiliki kualiti tersebut."