Pep Guardiola mengakui Manchester City perlu mengatasi kepincangan tanpa penyerang klinikal yang boleh menyumbangkan 25 gol semusim selepas mereka gagal mencari pengganti kepada Sergio Aguero.

City akan menghadapi pasukan Chelsea, malam ini, yang diperkuatkan dengan kehadiran Romelu Lukaku daripada juara Serie A, Inter, dengan harga di bawah £100 juta (RM573.2j).

Sebahagian besar jendela perpindahan terakhir menyaksikan City berusaha menandatangani Harry Kane daripada Tottenham, tetapi ia gagal membuahkan hasil dan mereka sebaliknya bergantung kepada seluruh jentera untuk mencetak gol.

Ujian di Stamford Bridge akan menjadi kayu pengukur sejauh mana City mampu bersaing dengan pasukan elit tatkala mereka berusaha mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).

Dengan juara bertahan Liga Juara-Juara (UCL) itu diperkasakan oleh Lukaku, Manchester United pula menafikan peluang City untuk menyambar khidmat Cristiano Ronaldo sambil Kane memilih untuk kekal di Spurs.

Guardiola menjelaskan posisi penyerang adalah unik bersandarkan kepekaan mereka: "Mereka istimewa dalam setiap pasukan.

"Dengan adanya mereka, setiap pasukan boleh berkata, 'kami di sini untuk memenangi perlawanan ini'. Kami cukup bertuah kerana pernah memiliki Sergio. Dia seorang pemain yang paling sukar untuk digantikan."

Aguero sering menderita kecederaan di peringkat akhir selama 10 tahun kariernya di City sebelum memilih berkelana ke LaLiga bersama Barcelona.

Sehubungan itu, bekas pengurus Barca itu menemui formula untuk mengatasi kepincangan di jentera serangannya. Lebih-lebih lagi dia cenderung mengetengahkan watak 'sembilan palsu' -- ini bermakna mereka mampu acap menyusun serangan tetapi buntu untuk menghasilkan jaringan.

"Kami tidak memiliki senjata ampuh seperti yang dimiliki pasukan lain, seperti Manchester United, Chelsea atau Tottenham. Kami perlu menggunakan apa yang sahaja kami miliki sebagai sebuah pasukan," kata Guardiola.

"Kami tidak mempunyai seorang pemain yang mempu menjaringkan 25 gol. Kami melakukannya secara berkumpulan dan itulah yang akan kami cuba lakukan musim ini."





Guardiola tidak berselindung minatnya terhadap sentuhan Kane.

Sebagai seorang jurulatih dan pengurus, dia sering mendambakan seorang pemimpin dan penyerang produktif untuk menerajui barisan depannya. Walaupun Gabriel Jesus kekal di City, Guardiola melabel peranan sebagai penyerang tengah berbeza buat pemain itu Brazil itu.

"Saya sentiasa mempunyai seorang penyerang berbisa," kata bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich itu.

"Sebagaimana seorang penjaga gol, penyerang juga memerlukan kepakaran. Saya pernah memiliki Samuel Eto'o di Barcelona yang mungkin merupakan yang terbaik atau salah seorang penyerang terbaik yang pernah saya latih. Begitu Thierry Henry di Barcelona.

"Saya tidak tahu apakah yang ini merupakan penyerang atau apa, tetapi Lionel Messi mampu menjaringkan sebilangan gol. Ini termasuk Robert Lewandowski, Thomas Muller di Bayern Munich sementara Sergio di sini.

"Saya selalu mengetengahkan penyerang. Gabriel Jesus lebih gemar melebarkan serangan berbanding di bahagian pusat. Kami menginginkan Kane kerana saya fikir kelab sedar bahawa ia bukan untuk saya, kami tetap memerlukan penyerang pada tahun-tahun berikutnya."