Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, berkata gandingan di antara Sergio Aguero dan Gabriel Jesus menawarkan sentuhan berbisa dan ia telah dibuktikan ketika menewaskan Liverpool 5-0, Sabtu lalu.

Aguero menjadi penjaring terbanyak bukan Eropah dalam sejarah Liga Perdana Inggeris ketika membuka jaringan di Stadium Etihad, sebelum penyerang Liverpool, Sadio Mane, dibuang padang kerana melakukan terjahan keras terhadap penjaga gol City, Ederson.

Skuad bimbingan Guardiola itu mempamerkan aksi yang cemerlang apabila berjaya meledak empat gol lagi menerusi Jesus dan Leroy Sane bagi membantu pasukan melakar kemenangan selesa.

Perdebatan sama ada Jesus atau Aguero yang harus mengetuai jentera serangan City bermula sejak musim lalu tetapi diakui mereka telah mempamerkan satu gandingan yang mantap.

"Saya sentiasa mengatakan kepada penyerang untuk menjaringkan gol, bukan melakukan hantaran," katanya.

"Tetapi apa yang dilakukan oleh Aguero, menghantarnya kepada Jesus sangat bermakna buat saya.

"Mereka adalah penyerang yang berkualiti. Mereka telah menunjukkan satu persembahan yang mantap dan berharap ia dapat diteruskan dalam perlawanan akan datang."