Andres Guardado menyeru kepada pengadil supaya memantu setiap gerak-geri Neymar ketika Mexico berdepan Brazil dalam aksi pusingan kalah mati Piala Dunia kerana dia gemar mendapatkan faul.

Neymar menyangka dia memenangi sepakan penalti buat Brazil ketika menang 2-0 ke atas Costa Rica minggu lalu tetapi keputusan itu diterbalikkan dengan penilaian video bantuan pengadil (VAR). Pengadil perlawanan, Bjorn Kuipers, melihatnya sebagai satu simulasi.

Penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu turut mendapat kritikan di atas terjahan kerasnya ke atas Adem Ljajic ketika Selecao meraih kemenangan ke atas Serbia.

Guardado acap kali menggesa pegawai perlawanan untuk mengawasi gerak-geri Neymar di Samara pada Isnin ini.

"Kami mengetahui siapa Neymar. Tetapi ia bukan terletak di tangan saya untuk menghukumnya tetapi pengadil-pengadil serta FIFA.

"Dengan adanya VAR, kami perlu melihat gaya permainannya dan cara untuk menanganinya.

"Kami tahu dia gemar meraih simpati daripada pengadil, menjatuhkan badan -- gaya permainan ini harus dihentikan," tegasnya.

Guardado optimis mara ke suku akhir walaupun Mexico gagal menewaskan Brazil dalam empat pertemuan terdahulu dalam Piala Dunia.

"Kami mahu mencipta sejarah dalam aksi kelima ini berdepan Brazil di pentas ini. Kami memiliki barisan pemain-pemain yang berbeza kali ini.

"Ia perlawanan terbesar dalam kehidupan kami," tambahnya.