ATLETICO 3 REAL BETIS 0

Antoine Griezmann mempamerkan prestasi terbaiknya musim ini dan ia jelas menggembirakan pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone, tetapi juara LaLiga itu bakal kehilangan sentuhannya dalam kunjungan ke Liverpool, awal pagi Khamis ini.


Penyerang itu, yang kembali ke Atletico untuk penggal kedua selepas gagal menyerlah di Barcelona, mempamerkan sentuhan sebenarnya dalam kemenangan 3-0 ke atas Real Betis di tempat sendiri, awal pagi tadi.

Sejak membuat penampilan sulung LaLiga bersama Real Sociedad ketika menentang Villarreal pada 29 Ogos 2010, hanya empat pemain telah menjaringkan lebih banyak gol LaLiga daripada jumlah 157 golnya dalam 403 perlawanan untuk setaraf dengan barisan istimewa yang terdiri daripada Lionel Messi, Cristiano Ronaldo, Karim Benzema dan Luis Suarez.

Kira-kira 95 daripada gol yang dihasilkannya adalah ketika menyarung jersi kelab ibu kota Sepanyol itu sebanyak 188 kali iaitu dengan kadar satu jaringan dalam setiap 156.29 minit, justeru terdapat tanda-tanda kebangkitan Griezmann untuk menemui semula keyakinannya bersama Rojiblancos.

Simeone menyaksikan tonggak Perancis itu mencipta empat peluang menarik ketika menentang Betis -- jumlah terbanyak di samping Angel Correa dan Yannick Carrasco. Ia bukan sahaja mengatasi jumlah tertingginya dalam sebuah perlawanan sejak kembali, malah ia menggandakan jumlah keseluruhannya dalam LaLiga musim ini.

Dua daripada peluang yang diciptanya telah ditakrifkan oleh Opta sebagai peluang terhidang, ini bermakna rakan sepasukannya memiliki kesempatan untuk meledak gol tetapi sayangnya, kedua-duanya tidak dimanfaatkan.

Begitupun, Simeone amat mengagumi persembahannya yang menyaksikan Luis Suarez dan Jose Gimenez antara mereka yang melepaskan peluang yang dicipta rakan sepasukannya itu.

“Berdasarkan perlawanan hari ini, kami menemui Griezmann yang sebenar,” katanya.

"Dia berusaha keras, tajam, memastikan penguasaan bola, mencipta dan mempunyai peluang untuk menjaringkan gol. Itulah yang kami fikirkan tentangnya."