Antoine Griezmann menolak untuk memikirkan masa depannya di peringkat kelab selepas membantu Perancis mencatat kemenangan ke atas Bolivia dalam aksi persahabatan awal pagi tadi.

Griezmann mengumumkan bulan lalu dia mahu meninggalkan Atletico Madrid setelah lima musim bersama kelab LaLiga itu sambil wujud laporan mengaitkan penggempur itu dengan Barcelona serta gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United.

Selepas menjaringkan satu gol dan membantu satu lagi jaringan dalam kemenangan 2-0 di Nantes awal pagi tadi, Griezmann tidak mahu memikirkan masa depannya.

"Saya tidak tahu, ia satu soalan yang baik," katanya.

"Lihat nanti. Semuanya akan ditentukan."

Dalam aksi di Nantes itu, Griezmann membuka ruang buat Thomas Lemar sebelum dia menambah gol dalam kemenangan ke atas Bolivia tatkala juara Piala Dunia itu sedang mempersiapkan diri untuk aksi kelayakan Euro 2020 berdepan Turki dan Andorra bulan ini.

Pemain berusia 28 tahun itu yang kini menduduki tangga kelapan dalam senarai penjaring terbanyak Perancis dengan 29 gol berkata dia sentiasa berbangga untuk mewakili pasukan negaranya.

"Ia sesuatu yang hebat dan indah untuk mewakili skuad kebangsaan Perancis. Kami menikmatinya kerana tidak semua pemain meraih peluang itu," tambahnya.

"Kami di sini untuk mewakili Perancis serta bola sepak negara ini. Kami berbangga untuk bermain buat Perancis."

Perancis akan turun menentang Turki di Konya, Sabtu depan.