Griezmann: Sukar buat Barcelona dapatkan Neymar semula

Penulis Jemputan
Julai 22, 2019 23:49 MYT
Antoine Griezmann percaya adalah sukar bagi Barcelona untuk menandatangani semula Neymar dan membentuk serangan serangkai di samping Lionel Messi dan Luis Suarez.
Barca menyelesaikan perpindahan Griezmann bernilai €120 juta (RM553.1j) bulan ini dan dilaporkan ingin memancing semula Neymar daripada Paris Saint-Germain (PSG), yang menandatanganinya dengan rekod dunia €222 juta (RM1 bilion) pada Ogos 2017.
Pemenang Piala Dunia itu enggan memikirkan mengenai kelibat pemain Brazil tersebut sebelum perjanjian berkenaan dimuktamadkan, dengan gergasi Catalan itu dilaporkan menawarkan €100 juta (RM460.9j) selain dua tonggak yang terdiri daripada Ousmane Dembele, Philippe Coutinho, Samuel Umtiti, Nelson Semedo, Ivan Rakitic dan Malcom sebagai galang ganti.
Griezmann fikir ia langkah yang rumit buat Barca sambil mengatakan bahawa mereka sudah mempunyai bakat yang mencukupi untuk mencabar pelbagai kejuaraan.
"Kami perlu memuktamadkannya terlebih dahulu kerana ia adalah perpindahan yang sukar," katanya kepada Sky Sports.
"Begitupun, dia adalah pemain handalan dan berada di tahap yang luar biasa meskipun dilanda beberapa kecederaan.
"Kami juga mempunyai Dembele, Coutinho dan Malcom yang juga pemain penting bagi kami dan sama-samalah kita berharap kami boleh meraih pencapaian yang hebat bersama-sama mereka.
"Saya harap saya akan memainkan peranan penting, saya mahu menjadi pemain penting untuk pasukan dan membantu dalam apa jua cara yang boleh.
"Selagi saya gembira bermain di samping rakan sepasukan dan mengerah segala kudrat di atas padang, itu perkara paling penting," katanya lagi.