PERANCIS 2 BELARUS 1

Didier Deschamps menghela nafas lega sejurus Perancis layak secara automatik ke Piala Dunia 2018 hasil kemenangan 2-1 ke atas Belarus untuk mengetuai Kumpulan A, awal pagi tadi.


Dua gol pada separuh masa pertama oleh calon anugerah Ballon d'Or, Antoine Griezmann, dan penggempur Arsenal, Olivier Giroud, membantu Perancis untuk menyempurnakan tugas mereka di Paris.

Tidak hairanlah Deschamps berasa lega selepas laluan Perancis ke Russia tergugat gara-gara keputusan seri dengan Belarus, Luxembourg selain tewas mengejut kepada Sweden sebelum ini.

"Kami berdepan tugas rumit. Perlawanan pada malam ini juga tidak mudah, namun kami mencapai sasaran kami," ujarnya yang memenangi Piala Dunia 1998 sebagai pemain kepada TF1.

"Jelas sekali, saya sangat gembira dengan pencapaian pemain kerana mereka sememangnya berhak. Kami gembira meskipun saya tahu ia adalah logik dan normal berdasarkan barisan pemain yang saya miliki."

Jurulatih berusia 48 tahun itu sedar dengan peranan penyokong yang membantu mereka untuk layak, khususnya ketika Belarus cuba menyukarkan tugas mereka apabila Anton Saroka merapatkan jurang sebelum babak pertama berakhir, termasuk melepaskan peluang keemasan untuk mengikat kedudukan.

"Kami mendapat sokongan yang jarang kami dapati, penyokong hadir dan berdiri teguh di belakang pasukan ini," tambah Deschamps.

"Malam ini, kami tidak melakukan segala-galanya dengan baik. Mungkin wujud sedikit tekanan juga dan Belarus tidak mudah menyerah.

"Adalah penting untuk berkongsi kegembiraan ini dengan penyokong yang hadir. Pemain sedar dengan semangat kemeriahan seperti ini. Ia harus diteruskan," katanya.