ATLETICO 0 PORTO 0

Diego Simeone berharap Antoine Griezmann segera memberikan reaksi kepada pengkritiknya selepas Atletico Madrid buntu tanpa jaringan dengan Porto dalam Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.

Atletico gagal memenangi perlawanan pembukaan mereka buat musim ketiga berturut-turut apabila terus gagal dalam empat perlawanan ketika bertindak sebagai tuan rumah dalam kejohanan utama kelab Eropah itu yang juga merupakan rekod terpanjang tanpa kemenangan.

Griezmann diperkenalkan sebagai pemain gantian dalam separuh masa kedua dalam usaha mereka memburu kemenangan, tetapi kelibatnya masih gagal memacu jentera serangan sambil gagal mencatat sebarang sentuhan di dalam kotak penalti Porto.

Muncul dalam aksi kedua selepas menentang Espanyol sejak dipinjamkan Barcelona, penyerang Perancis itu kini perlu menggalas tekanan hebat selain sudah semestinya mahu memenangi semula hati penyokong.

Bagaimanapun, Simeone tetap mempertahankan sentuhan Griezmann yang mencatat 21 gol sepanjang menyarung jersi Atletico dalam UCL -- sembilan jaringan lebih banyak daripada mana-mana rakan sepasukannya -- bagi melenyapkan keraguan terhadapnya.

"Ayuh kita berharap dia (Griezmann) mampu beraksi lebih baik lagi bagi menutup mulut pengkritiknya," kata pengurus Atletico itu kepada Movistar.

"Dia berdepan cabaran atas tindakannya pada masa lampau.

"Mereka (media) menerbitkan satu filem dan situasi yang mengerikan yang jelas menuntut kami untuk memulihkan sentuhan berbisanya."






Keputusan awal pagi tadi bermakna juara bertahan LaLiga itu hanya menang dua daripada 10 perlawanan Eropah terakhir, tetapi Simeone menegaskan dia akan mendorong pasukannya ke arah peningkatan.

"Pasukan ini semakin berkembang, kami mempunyai tugas untuk dilakukan," tambahnya.

"Kami akan berusaha ke arah itu, untuk mencari apa yang boleh membuatkan pasukan ini menjadi lebih baik lagi hingga dapat meneruskan kesinambungan dalam permainan selama yang mungkin.

"Sistem permainan kami perlu lebih variasi agar kami dapat mencari penyelesaian untuk setiap kejohanan. Kami memiliki pemain yang mampu mengisi posisi yang berbeza.

"Kami sering melakukannya, tahun lalu kami beraksi dengan pelbagai formasi. Kami mengamalkan semua sistem."