Antoine Griezmann kembali menyertai Atletico Madrid daripada Barcelona secara pinjaman, hanya berselang dua tahun selepas meninggalkan Wanda Metropolitano.

Atletico menjual penyerang Perancis itu kepada Barca dengan tanda harga €120 juta (RM587.62 juta) pada 2019 tetapi pasukan Catalan berkenaan tidak pernah berjaya mengembalikan prestasi terbaik pemain itu di Camp Nou.

Pemergian Lionel Messi ke Paris Saint-Germain (PSG) pada awal bulan lalu mungkin dapat membuka peluang buat Griezmann untuk lebih menyerlah tetapi pemain berusia 30 tahun itu menerima kecaman hebat daripada penyokong ketika pasukan Ronald Koeman berkenaan -- yang dibantu jaringan Memphis Depay -- bergelut untuk menewaskan Getafe hujung minggu lalu.

Koeman mempertahankan Griezmann dengan berkata: "Saya tidak menggemari apabila ada pemain Barca diejek, seseorang yag berusaha seperti Antoine tidak sepatutnya dikritik.

"Kesemua penyerang boleh memperoleh hari terbaik mereka tetapi ada perlawanan di mana anda tidak dapat mencari ruang. Kami juga tidak mencipta peluang buatnya."

Bagaimanapun, juara bertahan LaLiga, Atletico -- yang dikaitkan untuk mendapatkan kembali bintang mereka itu bulan lalu -- kini sah membawa pulang Griezmann ke ibu kita Sepanyol berkenaan.

Griezmann telah menandatangani kesepakatan pinjaman bagi musim 2021-22 dengan pilihan buat kedua-dua kelab untuk melanjutkannya selama setahun lagi. Barca juga mengumumkan terdapat klausa pembelian tetap yang harus dipenuhi.

Walaupun penjualan pemain itu dapat mengurangi beban kewangan Barca, ia secara tidak langsung memperkasakan jentera serangan Atletico, yang turut dibarisi Luis Suarez, Joao Felix, Angel Correa dan pemain baru, Matheus Cunha.