Antoine Griezmann sudah mempunyai jawapan kepada destinasi kelab seterusnya musim depan tetapi belum bersedia untuk mendedahkan keputusannya.

Laporan akhbar Perancis mendakwa pemain berusia 27 tahun itu akan menafikan tawaran daripada Barcelona untuk kekal di Atletico Madrid.

Sebelum ini, penggempur itu memberi bayangan pengumuman itu akan berlaku semasa sidang media semalam bagi mengakhiri spekulasi yang telah berlanjutan selama beberapa bulan.

Sebaliknya, Griezmann membuatkan orang terus tertanya-tanya.

"Maaf tetapi hari ini bukan harinya. Saya tahu orang menjangkakan pengumuman, namun hari ini bukan harinya (untuk bercakap tentang masa depan saya)," kata Griezmann kepada wartawan.

"Saya telah membuat keputusan tetapi ini bukan masa untuk mengumumkannya."

Kelewatan itu mungkin menjadi kebimbangan kepada Didier Deschamps yang sedang mempersiapkan Perancis untuk aksi pembukaan Piala Dunia menentang Australia, Sabtu ini.

Perancis, yang dianggap antara pilihan untuk mara jauh dalam temasya Russia 2018, akan turut menghadapi Peru dan Denmark dalam Kumpulan C.