Bintang Atletico Madrid, Antoine Greizmann, berharap jaringannya ke atas Milan dapat menghidupkan semula karier bersama kelab itu selepas melakar sejarah Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi tadi.

Griezmann menjaringkan gol pertama buat Atletico sejak tiba dari Barcelona pada hari terakhir jendela perpindahan dan juara LaLiga itu berjaya merakamkan kemenangan 2-1 ke atas Milan yang beraksi dengan 10 pemain.

Atletico ketinggalan 1-0 dalam separuh masa pertama berikutan jaringan pembukaan Rafael Leao tetapi pelawat menggunakan kelebihan pemain selepas pemain tonggak Milan, Franck Kessie, menerima kad kuning kedua di San Siro.

Griezmann melengkapkan kebangkitan Atletico dalam aksi kedua, hadir dari bangku simpanan untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-84 sebelum Luis Suarez menyempurnakan sepakan penalti pada minit ketujuh masa kecederaan.

Sudah menjadi pemain Atletico yang paling banyak menjaringkan gol dalam UCL (22), Griezmann kini menjadi penjaring gol terbanyak dalam perlawanan di tempat lawan selepas meledak gol yang keenam dalam pertandingan tersebut.


"Saya berharap untuk kembali ke tahap terbaik dengan secepat mungkin. Terdapat banyak perubahan," kata Griezmann kepada Movistar.

"Perpindahan dilakukan pada hari terakhir dan semuanya adalah taktikal yang berbeza, bilik persalinan yang berbeza, dengan cara permainan yang berbeza.

"Saya perlu cepat menyesuaikan diri kerana jurulatih dan rakan sepasukan memerlukan saya. Perlawanan sebegini akan terus membantu saya kembali ke tahap terbaik.

"[Ketua jurulatih, Diego Simeone] banyak membantu saya, dia berjaya mendapakan tahap terbaik saya. Saya mahu membalas usahanya dan kepada kelab, penyokong dan rakan sepasukan. Saya sangat berbangga berada di sini."

Ini merupakan kemenangan di tempat lawan yang pertama buat Atletico ke atas lawan dari Itali sejak mengatasi Milan dalam UCL pada February 2014 (1-0).