MANCHESTER CITY 5 NORWICH CITY 0

Jack Grealish merupakan antara penyumbang jaringan ketika Manchester City membelasah Norwich City 5-0, sekali gus memperoleh kemenangan pertama dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2021-22 lewat malam tadi.

Pasukan juara bertahan itu tewas 0-1 kepada Tottenham dalam perlawanan pembukaan musim ini minggu lalu tetapi tidak berdepan masalah untuk memperoleh kemenangan besar ke atas pasukan yang baru dinaikkan liga, Norwich, di Stadium Etihad.

Pemain termahal British, Grealish, menjaringkan gol pada minit ke-22 penampilan pertamanya di laman sendiri, 15 minit selepas penjaga gol lawan, Tim Krul, terjaringkan gol ke gawang sendiri.

Aymeric Laporte kemudian menyumbat masuk jaringan ketiga City dalam babak kedua dengan memanfaatkan bola daripada sepakan penjuru sebelum pemain gantian, Raheem Sterling dan Riyadh Mahrez, menambah kesengsaraan Norwich menerusi sentuhan pemusnah mereka, masing-masing pada minit ke-71 dan 84.

Sebagai rekod, City telah memenangi kesemua tiga perlawanan terakhir menentang Norwich di laman sendiri dengan agregat jaringan 14-1.