Pemain termahal Britain, Jack Grealish mungkin memainkan peranan penting buat Manchester City dalam minggu-minggu pembukaan musim ketika Phil Foden dan Kevin De Bruyne masih tidak dapat diturunkan.

Grealish menyempurnakan perpindahan GBP100 juta dari Aston Villa menyertai juara Liga Perdana Inggeris (EPL), City semalam.

Perancang berusia 25 tahun itu banyak turun sebagai pemain gantian ketika mewakili England dalam Euro 2020 dan bakal kembali memainkan peranan yang sama di Stadium Wembley apabila menyarung jersi Man City.

"Dia sama sekali tidak bersedia untuk diturunkan dalam kesebelasan utama, dia menjalani latihan satu minggu sahaja tetapi dia akan bersama pasukan dan dia akan memulakan saingan daripada bangku simpanan dan kami akan melihat apa yang terjadi," kata Guardiola.

"Setelah kita melihat apa yang berlaku tetapi dari awal, tidak mungkin."

"Phil Foden akan terlepas saingan buat sementara waktu, dia mengalami kecederaan ketika bersama England.

"Anda perlu berhati-hati dengan kecederaan kerana jika kami tidak mengambil langkah berjaga-jaga ia mungkin akan berpanjangan.

"Kevin masih tidak dapat beraksi. Saya berasakan dia akan pulih segera tetapi buat masa ini, dia tidak akan bersama pasukan."