Juara Jerman tujuh kali, Schalke, tersingkir daripada Bundesliga buat kali keempat sepanjang sejarah mereka, di mana ketua jurulatih, Dimitrios Grammozis, meratapi "waktu paling pahit" itu.

Ketika komuniti bola sepak di benua itu digemparkan dengan isu penubuhan Liga Super Eropah sepanjang 48 jam lalu, salah satu kelab tradisional Jerman telah sah tergelincir ke saingan divisyen dua selepas tewas 0-1 kepada Arminia Bielefeld awal pagi tadi.

Fabian Klos menjaringkan gol tunggal dan terlepas sepakan penalti untuk Schalke sah tersingkir daripada Bundesliga berbaki empat perlawanan. Mereka hanya meraih dua kemenangan sepanjang musim ini dan hanya mengumpulkan 13 mata.

"Ia merupakan waktu yang amat pahit buat pemain Schalke -- buat kesemua penyokong dan kesemua pekerja yang telah memberikan segala-galanya buat kelab ini setiap hari," kata pengendali kelab itu dalam laman web rasmi mereka.

"Kerana itulah kami amat kecewa kerana kini terdapat kepastian bahawa kami perlu bermain dalam divisyen dua.

"Ia masih belum berakhir hari ini tetapi ia berdasarkan jumlah semua perlawanan musim ini. Bagi kami, perlawanan yang berbaki adalah untuk kami mengucapkan selamat tinggal dengan cara terbaik.

"Kami tidak akan mengaku kalah dalam sebarang perlawanan, kami akan mempersiapkan diri kami dengan sebaik mungkin untuk tugasan ini dan akan sekali lagi memberikan segala-galanya buat kelab ini dalam baki perlawanan terakhir," katanya.

Ketua jurulatih Bielefeld, Frank Kramer -- yang pasukannya kini dibezakan empat mata daripada zon playoff penyingkiran -- merakamkan rasa simpatinya buat penyokong Schalke.

"Hati setiap penyokong bola sepak pasti terluka apabila kelab tradisional besar seperti Schalke tersingkir.

"Fakta bahawa kelab seperti itu akan beraksi dalam divisyen dua pasti akan membuatkan setiap peminat bola sepak mengalirkan air mata," katanya.