Marc Marquez akan terlepas Grand Prix (GP) Algarve hujung minggu ini selepas mengalami sedikit gegaran di kepalanya ekoran terbabas ketika sesi latihan.

Juara MotoGP enam kali tersebut mengalami kemalangan itu Sabtu lalu ketika bersiap untuk perlumbaan terakhir kedua musim ini di Portimao, di mana dia akan mengintai kemenangan ketiga berturut-turut.

Semalam, Marquez masih mengadu tidak sihat selepas beberapa hari berehat di rumahnya sebelum pelumba Repsol Honda itu memutuskan untuk tidak berlumba di Algarve Motorsports Park sebagai langkah berjaga-jaga sebaik menjalani pemeriksaan kesihatan.





Pasukan Sepanyol itu dalam satu kenyataan berkata: "Sabtu lalu, Marc Marquez mengalami gegaran di kepalanya ketika menjalani latihan untuk menghadapi GP Algarve.

“Selepas beberapa hari berehat di rumah dan berdasarkan keadaannya yang masih tidak sihat, hari ini Marquez telah dinilai oleh doktor.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, Marquez tidak akan bertanding dalam Grand Prix Algarve pada hujung minggu ini."

Marquez terlepas kempen awal musim ini berikutan masih menjalani pemulihan terhadap kecederaan lengan yang serius.

Dia kembali berlumba dalam GP Portugal sejak April lalu dan kini berada di tempat keenam dengan 142 mata selepas mencatat kemenangan berturut-turut di Austin dan di GP Emilia Romagna sambil menyaksikan Fabio Quartararo mengesahkan kejuaraan.