Pertahanan import Pahang, Herold Goulon, mengakui fizikal yang dimilikinya memberi kelebihan sambil mahu tampil sehebat bekas pertahanan Tok Gajah, Damion Stewart, untuk membantu pasukan itu meraih pencapaian gemilang musim ini.

Goulon dilihat sebagai pembelian berbaloi oleh Pahang berdasarkan aksinya dalam dua perlawanan Liga Super 2019 setakat ini.

Memiliki susuk tubuh tegap dan ketinggian yang hampir mencecah dua meter, pertahanan kelahiran Perancis itu sememangnya sukar diatasi pihak lawan, terutama dalam perebutan bola di udara.

Buktinya, Goulon ampuh mengekang asakan Terengganu dan berjaya menghasilkan gol menerusi tandukan dalam pertemuan setempat Pantai Timur itu semalam.

"Jika ia lebih kepada fizikal, saya pernah berdepan penyerang yang mempunyai kepantasan dan ia juga memberi masalah kepada saya. Saya sukakan aksi menyerang ketika sepakan sudut," kata Goulon.

Bagaimanapun, gaya permainan bekas pemain Blackburn Rovers yang pernah beraksi bersama skuad kebangsaan remaja Perancis itu mengingatkan kembali kepada Stewart.

Digelar 'kereta kebal' Pahang, Stewart merupakan antara tunjang utama terhadap kegemilangan pasukan itu ketika musim 2013 dan 2014.

"Sejujurnya, saya tidak mengenali Stewart tetapi saya harap mampu beraksi sebagus dia atau lebih baik. Saya ke sini untuk menjuarai Liga Super. Ia bukan tentang hasrat peribadi tetapi untuk pasukan," ujarnya.