Pertahanan Pahang, Herold Goulon, mula mengintai peluang untuk memahat namanya di pentas dunia apabila berharap gol 'ajaib' ketika bertemu Perak, Sabtu lalu, tersenarai dalam 10 jaringan tercantik Anugerah Puskas 2019.

Pemain import kelahiran Perancis itu menjadi individu kedua dari Malaysia yang dihantar rakaman video jaringannya ke Anugerah Puskas FIFA bagi pencalonan 2019 selepas bek kanan negara, Syahmi Safari, turut dicalonkan.

Ia susulan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menghantar surat rasmi dan rakaman video kepada FIFA Rabu lalu bagi membolehkan gol jarak jauhnya itu dipertandingkan.

Malah, Goulon juga sudah menerima surat mengenai pencalonan itu semalam dan kini menyerahkan kepada FIFA untuk membuat penilaian terhadap jaringan berkenaan.

"Saya mengetahui jaringan itu sangat cantik tetapi mereka perlu menilainya dengan teliti. Saya berharap dapat berada dalam kalangan 10 jaringan terbaik dan jika berjaya meraih anugerah itu, ia adalah satu kebanggaan bagi saya," katanya.

Goulon mencetus sensasi apabila sepakan percumanya dari jarak 55 meter berjaya menewaskan penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, di Stadium Darulmakmur, Sabtu lalu.

Bekas pemain Blackburn Rovers itu, bagaimanapun, menegaskan tidak akan mengulangi tindakannya itu untuk aksi separuh akhir kedua Piala FA bertemu Perak di Stadium Perak, malam ini.

"Saya tidak akan cuba mengulanginya kerana jika gagal menembusi gawang lawan, ramai akan mempertikaikan jaringan sebelum ini kerana menganggap saya melakukannya secara tidak sengaja."