Mario Gotze berikrar untuk memaksa dirinya kembali bekerja keras untuk berada dalam perancangan Lucien Favre di Borussia Dortmund.

Pemain kebangsaan Jerman itu sekadar melakukan 15 penampilan dalam semua kejohanan buat pendahulu Bundesliga itu, dengan sembilan kali tampil dalam kesebelasan utama sebanyak sembilan kali.

Dia perlu menunggu penampilan pertama saingan Bundesliga hingga Oktober lalu tetapi menikmati perlawanan yang lebih manis pada penghujung 2018 apabila tampil dalam tujuh perlawanan berturut-turut.

Mengakui mengharungi permulaan yang hambar bagi musim ini, pemenang Piala Dunia itu mahu berusaha dengan lebih baik bagi mendapatkan lebih banyak peluang beraksi di bawah pimpinan Favre.

"Terdapat satu ketika segalanya tidak berjalan seperti apa yang dirancang," kata Gotze.

"Saya mengakui permulaan ini agak rumit.

"Tetapi saya seorang yang mengutamakan pasukan berbanding diri saya sendiri.

"Buat masa ini, saya berusaha untuk berada di tahap terbaik untuk tampil beraksi bersama pasukan."

Favre, bagaimanapun, mengakui perancang tengah itu sudah mula menyesuaikan diri dengan corak permainan yang diketengahkan.

"Gotze tidak pernah menunjukkan kelemahannya dalam setiap sesi latihan disertainya," katanya.

"Dia berusaha dengan baik, menyerang dan bertahan untuk pasukan."

Dortmund, yang mendahului Bundesliga dengan kelebihan enam mata ke atas Bayern Munich, bakal berdepan RB Leipzig dalam aksi seterusnya.