Pemain tengah dari Perancis, Maxime Gonalons, tiba di Itali untuk menjalani ujian kesihatan sebelum melengkapkan perpindahannya dari pasukan Ligue 1, Olympique Lyon, ke AS Roma.

Perpindahan bernilai EUR5 juta (RM24.5 juta) itu disahkan selepas laman sosial Twitter milik Roma menyiarkan gambar Gonalons berdiri sambil memegang skaf kelab.

Lyon sebelum ini mengesahkan Roma telah mencapai persetujuan untuk mendapatkan pemain itu yang masih memiliki baki setahun kontrak bersama Les Gones.

Gonalons telah bersama Lyon sejak lapan tahun lalu serta meraih penampilan sebanyak tujuh kali bersama pasukan kebangsaan Perancis, namun kali terakhir dia menyarung jersi Les Bleus adalah pada tahun 2015.

Kehadiran Gonalons ke Stadium Olimpico bakal menambah saingan dalam pasukan Roma selepas mendapatkan Rick Karsdorp, Hector Moreno serta pemain tengah muda Itali, Lorenzo Pellegrini.

Selain itu, Roma yang kini dipimpin oleh pengarah sukan baru, Monchi, turut meraih sejumlah wang yang banyak apabila menerima hampir EUR60 juta (RM294 juta) hasil penjualan Mohamed Salah ke Liverpool serta Leandro Paredes ke Zenit St. Petersburg.

Bagaimanapun, presiden kelab, James Pallotta, mengkritik penyokong-penyokong skuad Giallorossi selepas mereka mempersoalkan tindakan pasukan melakukan rombakan dan membiarkan pemain-pemain berprofil tinggi berhijrah.