Pemain Fiorentina yang menjadi rebutan, Federico Chiesa, patut kekal di Itali, kata bekas penyerang kelab itu, Nuno Gomes.

Manchester United, Chelsea, Juventus dan Inter Milan dilaporkan antara kelab gergasi Eropah yang dikaitkan dengan Chiesa apabila jendela perpindahan dibuka.

Gomes mewakili Fiorentina di antara 2000 dan 2002, memenangi Piala Itali dan berpendapat pemain skuad The Azzurri itu patut berkembang dalam Serie A sebelum ke liga lain.

Namun, dia mengakui pemain berusia 22 tahun itu menampilkan pengalaman hebat berbanding usianya dan mampu beraksi dalam Liga Perdana Inggeris atau LaLiga jika itu kemahuannya.

"Pada pendapat saya, pemain muda sepertinya patut kekal di Itali," kata Gomes.

"Ia mungkin pilihan terbaiknya. Dia baru berumur 22 tahun, jadi masih banyak musim menanti untuk berkembang sebelum ke negara lain.

"Namun, sudah pasti dia bersedia untuk saingan di England atau Sepanyol. Dia sudah mewakili skuad kebangsaan beberapa kali dan memiliki pengalaman dalam liga yang sukar, Serie A.

"Dia akan bersedia untuk cabaran seterusnya tetapi patut memilih Fiorentina."