Pemain tengah kelahiran Amerika Syarikat (AS) berdarah Malaysia, Wan Kuzain Wan Kamal, mencipta sensasi dalam saingan Liga Bolasepak Amerika (USL) apabila jaringannya membantu Rio Grande Valley FC (RGV) Toros menguasai puncak.

Divisyen kedua di AS itu terbahagi kepada empat saingan dan kemenangan 2-1 ke atas San Antonio, pagi tadi, menjulang pasukan yang berpangkalan di Texas itu menerajui saingan Western Conference Mountain.




Bekas Sporting Kansas City berusia 23 tahun itu menyusup ke kotak penalti lawan dari sebelah sayap kanan dengan memperdayakan tiga pertahanan sebelum menyudahkan gerakannya dengan sepakan rendah ke penjuru kiri untuk gol pembukaan perlawanan, seterusnya diangkat sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.

Christian Sorto menggandakan gol buat tuan rumah sebelum Santiado Patino menghasilkan jaringan sagu hati selepas sejam permainan.



Rio Grande Valley meneruskan rentak kemenangan mereka selepas tiga perlawanan sambil menghadiahkan kekalahan pertama buat pencabar dalam kalangan lapan itu.

Rio Grande Valley akan bertandang ke El Paso Locomotive Ahad ini.