CULTURAL LEONESA 1 REAL MADRID 7

Zinedine Zidane terkesima dengan gol Nacho Fernandez dalam kemenangan bergaya 7-1 Real Madrid ke atas Cultural Leonesa dalam saingan Copa del Rey, dengan menyifatkan gerakan itu lebih baik berbanding rembatan yang pernah dilakukannya dalam Liga Juara-Juara pada 2002.


Selepas mendahului 5-0 di tempat lawan, Nacho menyudahkan hantaran tinggi James Rodriguez dengan sepakan gunting.

Sentuhan pemain antarabangsa Sepanyol itu meluncur ke penjuru atas sebelah kiri pintu gol lawan untuk membuat Zidane terpegun, sehingga mendorong beliau untuk melabelkan gol itu lebih menarik berbanding jaringan yang pernah dilakukannya ketika menang 2-1 ke atas Bayer Leverkusen di pentas final Liga Juara-Juara 2001-02.

"Apa yang dilakukan Nacho adalah tidak normal," katanya kepada pemberita.

"Saya gembira untuknya. Ia merupakan gol yang akan terpahat dalam sejarah. Ia lebih baik berbanding yang saya lakukan pada 'La Novena' (gelaran kesembilan Liga Juara-Juara untuk Madrid).

Zidane merehatkan sebahagian besar nama-nama besar dalam kunjungan ke Leon, dengan memberikan peluang kepada bakat muda dalam kesebelasan utamanya yang menyaksikan Marco Asensio dan Alvaro Morata menyumbat dua gol.

Zidane turut mengambil kesempatan itu untuk mendedahkan kelab terbabit sedang gigih untuk memperbaharui kontrak beberapa pemain Madrid, termasuk Cristiano Ronaldo.

"Ia sangat penting," katanya merujuk kepada kontrak baru Ronaldo. "Kami mahu dia terus beraksi untuk kami dalam tempoh yang panjang. Itulah keinginan kami.

"Kami mahu kekalkan pasukan ini kerana ia sangat sempurna dan kami cuba untuk mengekalkan skuad ini dalam tempoh yang lama."