COLOMBIA 3 POLAND 0

Radamel Falcao menjaringkan gol pertamanya dalam Piala Dunia ketika Colombia menghidupkan semula harapan mereka untuk mencapai peringkat kalah mati dengan kemenangan 3-0 ke atas Poland di Kazan Arena, sebentar tadi.


Penyerang Monaco itu meledak jaringan antarabangsanya yang ke-30 pada minit ke-70, menjadikannya pemain pertama dari Colombia mencapai kejayaan seperti itu dalam perlawanan wajib menang untuk mengelak penyingkiran.

Terdahulu, pemain pertahanan Barcelona, ​​Yerry Mina, menyudahkan gol pembukaan menerusi tandukan untuk menewaskan penjaga gawang, Wojciech Szczesny, lima minit sebelum rehat. Jaringan itu berpunca daripada gerakan kreatif gandingan Juan Cuadrado dan James Rodriguez.

Kehadiran Rodriguez, yang kembali cergas sepenuhnya selepas kecederaan betis, nyata merangsang corak permainan Colombia yang semakin baik berbanding ketika tewas 2-1 kepada Jepun, dan dia membuat bantuan jaringan kepada Cuadrado untuk menambah gol ketiga mereka pada minit ke-75.

Rembatan jarak jauh daripada penyerang berbisa, Robert Lewandowski, adalah antara percubaan terbaik Poland, namun penjaga gol Arsenal, David Ospina, lebih tangkas untuk menepis keluar.

Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan Jose Pekerman itu berada di tangga ketiga dengan mengumpul tiga mata dalam Kumpulan H, satu mata di belakang Jepun dan Senegal yang terikat 2-2 dalam aksi yang berlangsung sebelum itu.

Poland, yang sudah tersingkir daripada kejohanan, akan memainkan peranan dalam menentukan nasib kumpulan apabila mereka bertemu Jepun, tetapi jurulatihnya, Adam Nawalka, mungkin menerima kritikan akibat penyingkiran selepas mengharungi dua perlawanan di mana pasukannya gagal memanfaatkan Lewandowski sepenuhnya.