Penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Che Kassim, mengakui kecewa apabila kemenangan Kedah diragut menerusi gol kontroversi pemain import Selangor, Juliano Mineiro, dalam masa kecederaan apabila diikat seri 1-1 dalam pertemuan Liga Super di Stadium Selayang, malam tadi.

Kedah hampir membawa pulang tiga mata selepas berjaya mendahului hasil jaringan Sandro Da Silva pada minit ke-80.

Namun, Selangor bangkit menyamakan kedudukan dalam masa kecederaan apabila Mineiro berjaya membuat tindakan susulan selepas sepakan penalti Victor Astafei ditepis Ifwat.

Gol itu, bagaimanapun, mencetuskan kontroversi berikutan Mineiro didapati terlebih dahulu berada dalam kawasan kotak penalti sebelum Astafei melakukan sepakan.

Berdasarkan peraturan permainan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) undang-undang 14 sepakan penalti; Mineiro perlu berada di luar kawasan penalti sebelum sepakan dibuat.

"Saya kecewa kerana kami sepatutnya mampu mengutip tiga mata tapi kami balik dengan satu mata.

"Bagaimanapun, Alhamdulillah kami tidak kalah.

"Saya mendapati rentak Kedah nampak perlahan di penghujung permainan dan tidak tampil 100 peratus.

"Insyallah kami akan cuba mencapai kemenangan di laman sendiri dalam perlawanan akan datang memandangkan kami kini ketinggalan satu mata di belakang Pahang (dalamcarta Liga Super)," katanya.

Pengendali Kedah, Tan Cheng Hoe, juga tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya berhubung keputusan seri tersebut meskipun skuad Lang Merah berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah selepas tujuh perlawanan.

Begitupun, dia enggan menyalahkan mana-mana pemain secara individu.

"Dalam keadaan itu, kita tidak boleh menyalahkan dia 100 peratus -- kekasaran Muhammad Akram Mahinan kerana memberi penalti -- sedangkan dia berusaha untuk menghalang pemain lawan daripada menjaringkan gol.

"Setiap pemain akan belajar daripada kesilapan," ujarnya.