Jaringan yang memulakan kebangkitan Leicester City ke atas Liverpool 'jelas sekali ofsaid' dan mereka tidak seharusnya diberikan sepakan percuma, menurut Jurgen Klopp.

Mohamed Salah meledak gol pembukaan buat Liverpool pada minit ke-67 dan Leicester berasakan mereka telah dinafikan sepakan penalti selepas Thiago Alcantara melakukan kekasaran terhadap Harvey Barnes.

Bagaimanapun, sepakan percuma James Maddison menemui jaringan pada minit ke-78, dengan VAR menolak keputusan ofsaid terhadap Daniel Amartey.

Jamie Vardy dihadiahkan gol percuma selepas Ozan Kabak dan Alisson melakukan kesilapan dan The Foxes meraih gol ketiga dalam tempoh lapan minit selepas Barnes menemui lorongan Wilfred Ndidi.

Liverpool kini ketinggalan enam mata di belakang Leicester, yang naik ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) dan ketinggalan 10 di belakang pendahulu, Manchester City.

"Kami dibolosi jaringan, di mana amat sukar untuk diterima. Saya mengetahui kami banyak membincangkan mengenai VAR, tetapi saya berasakan ia adalah titik perubahan perlawanan ini," kata Klopp.

"Saya telah menyaksikan beberapa kali dan terdapat detik ketika mereka menghentikan situasi, di mana anda mencari siapa yang berada di kedudukan ofsaid dan sebaliknya, dia tidak menyentuh bola namun keputusan tetap perlu dilakukan. Ia amat sukar kerana bagi saya ia kelihatan sudah ofsaid kerana dia perlu menyentuh bola itu.

"Jaringan kedua berpunca daripada salah faham, kami mengatakan bahawa mereka harus saling membiasakan diri dan mereka bermain dengan baik selama 75 minit.

"Ia adalah permainan yang sangat bagus. Mereka berada di satu posisi di depan kami -- mungkin sekarang lebih banyak -- tetapi ketika beraksi ia tidak kelihatan begitu jelas, kami adalah pasukan yang dominan.


"Kami bermain bola sepak yang cara kami mahu bermain, kami mengelakkan serangan balas mereka, kami menjaringkan gol yang sangat bagus, mempunyai lebih banyak peluang. Kami harus bekerja lebih keras untuk mendapatkan lebih banyak peluang dan mungkin menjaringkan lebih banyak gol, tetapi perlawanan ini sangat bagus kemudian kami dibolosi dua gol.

"Jaringan ketiga mereka meraihnya terlalu mudah. Ia sesuatu yang saya tidak suka. Kami terlalu terbuka dan itu tidak OK."