MANCHESTER UNITED 2 BRIGHTON AND HOVE ALBION 0

Manchester United mengesahkan tempat dalam separuh akhir Piala FA musim ini selepas menundukkan Brighton and Hove Albion 2-0 dalam aksi suku akhir di Old Trafford, awal pagi tadi.


Beraksi di laman sendiri, skuad kendalian Jose Mourinho itu dilihat meletakkan dua pemain utama yang sedang mengalami masalah prestasi, Alexis Sanchez dan Paul Pogba, di bangku simpanan tatkala Scott McTominay dan Luke Shaw kembali meraih tempat dalam kesebelasan utama.

Anthony Martial hampir meletakkan United di depan pada minit ke-23 selepas hantaran jauh Antonio Valencia memberikan ruang buatnya, namun pemain sayap Perancis itu gagal mengawal bola dengan baik.

Bagaimanapun, jaringan yang dicari-cari akhirnya tiba ketika aksi berbaki lapan minit menuju waktu rehat selepas bola hantaran Nemanja Matic ditanduk masuk Romelu Lukaku, membolehkan penyerang Belgium itu meraih gol ke-25 dalam semua kejohanan bagi musim pertamanya di Old Trafford.

Bersambung separuh masa kedua, Mourinho melakukan pertukaran dengan membawa masuk Ashley Young untuk menggantikan Shaw tetapi mereka dilihat lebih banyak menyerap asakan pelawat.

Pemain dari Belanda, Jurgen Locadia, hampir menjadikan kedudukan 1-1 pada minit ke-52, namun rembatan leretnya tepat ke dakapan Sergio Romero dan usahanya empat minit kemudian memaksa penjaga gawang Argentina itu melayangkan badan untuk menepis bola keluar.

Di sebalik serangan demi serangan yang dilancarkan Brighton, United menambah gol kedua menerusi Matic apabila bekas pemain Chelsea itu bijak mencari ruang untuk menanduk masuk bola sepakan percuma Young untuk melebarkan kedudukan buat The Red Devils.

Walaupun memasukkan Marouane Fellaini untuk menggantikan Jesse Lingard pada minit ke-88, dua gol yang diraih United kekal sehingga perlawanan tamat, membolehkan United mengikut jejak langkah Tottenham Hotspur ke separuh akhir dengan kemenangan 2-0 selepas skuad kendalian Mauricio Pochettino itu mengatasi Swansea City 3-0 semalam.

Empat lagi pasukan yang akan berentap untuk merebut baki dua slot separuh akhir adalah Wigan Athletic, Southampton, Leicester City dan Chelsea.