Diego Costa menafikan bahawa dia menggunakan lengannya ketika menjaringkan gol kemenangan Atletico Madrid, yang menewaskan Real Betis 1-0, dalam perlawanan LaLiga di Wanda Metropolitano awal pagi tadi.

Kemenangan itu memastikan Atletico menamatkan LaLiga musim ini selaku empat pasukan terbaik walaupun beraksi dengan 10 pemain selama lebih daripada setengah jam selepas Mario Hermoso dilayangkan kad merah gara-gara mengasari Loren Moron.

Costa dimasukkan untuk memberikan perubahan di jentera serangan pasukan itu sebelum Hermoso dibuang padang.

Selepas skuad kendalian Diego Simeone itu terpaksa bertahan daripada serangan lawan, Costa menolak masuk bola sepakan percuma Yannick Carrasco ke penjuru kanan bawah gawang untuk memastikan tiga mata buat pasukannya

Kedudukan pertahanan Betis, Marc Batra, menjadikan Costa tidak berada di posisi ofsaid tetapi video bantuan pengadil (VAR) digunakan untuk memastikan penyerang Atletico itu tidak menggunakan tangannya ketika menjaringkan gol

Rakaman video tidak dapat menunjukkan insiden itu dengan jelas dan gol berkenaan dikira, berbeza dengan insiden yang melanda Angel Correa dan Alvaro Morata, yang jaringan kedua-duanya dibatalkan sistem itu.

"Ia hanya akan dibatalkan sekiranya saya ofsaid tetapi ia tidak terkena lengan saya. Saya amat pasti ia tidak (terkena tangan) dan saya amat gembira dengannya," kata Costa kepada Movistar.

"Ia perlawanan yang sukar selepas Mario dilayangkan kad merah. Misi kami adalah untuk menamatkan liga di kedudukan empat teratas.

"Sekarang kami sudah mencapainya dan masih ada dua perlawanan yang kami perlu menang dan mengekalkan prestasi yang baik.

"Saya fikir ia petanda yang baik apabila kami menjaringkan gol daripada gerakan 'set-piece'. Kami mengawal permainan.

"Apa yang berlaku dalam babak kedua menjadikan ia semakin sukar tetapi kami memiliki sedikit tuah dan memenanginya.

"Saya tidak pasti mengapa kami sentiasa perlu bergelut seperti ini.

"Jika kami tidak bergelut, kami tidak berasa baik, jadi kami gembira dan akan memburu kejayaan yang lebih besar," katanya.

Pengadil, Jose Luis Gonzalez Gonzalez, mengekalkan keputusannya untuk mengarahkan Hermoso keluar padang meskipun setelah merujuk kepada VAR tetapi Costa berasakan ia satu hukuman yang adil.

"Jika mereka melayangkan kad kuning buat Mario, ia baik sahaja.

"Saya fikir ia sudah sampai batasannya dan pengadil perlu membuat keputusan tetapi saya fikir kad kuning atau merah adalah keputusan yang adil," tambahnya.

Guido Rodriguez tidak bersetuju dengan apa yang diperkatakan Costa mengenai jaringan itu dengan mendakwa bola jelas sudah terlebih dahulu terkena lengan penyerang itu.

"Kami dapat lihat apabila Costa menjaringkan gol menggunakan lengannya tetapi bukan mereka yang membuat keputusan itu, jadi ia seperti itu," kata pemain tengah Betis itu.

"Kami bermain dengan kelebihan sorang pemain, mencari gol tetapi ia agak menjengkelkan kerana kami tidak dapat menemuinya."