JUVENTUS 1 NAPOLI 1

Federico Chiesa memadamkan jaringan pembukaan Dries Mertens untuk Juventus mengikat Napoli, yang terjejas berikutan penularan COVID-19, 1-1 dalam perlawanan Serie A di Stadium Allianz awal pagi tadi.

Kelangsungan perlawanan itu menjadi tanda tanya sehingga sepak mula berikutan penularan koronavirus dalam kem pelawat, yang menyaksikan mereka tidak dapat menurunkan beberapa pemain utama, termasuk ketua jurulatih, Luciano Spalletti.

Napoli terpaksa turun tanpa pemain utama seperti Victor Osimhen, Hirving Lozano dan Fabian Ruiz kerana jangkitan COVID-19 manakala Kalidou Koulibaly pula merupakan satu daripada tiga orang pemain mereka yang sedang terlibat dengan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).

Bagimanapun, mereka mendahului dalam babak pertama menerusi penyudah rendah Mertens pada minit ke-23 tetapi pemain sayap Juventus, Chiesa, menyamakan kedudukan dalam babak kedua untuk perlawanan penuh aksi itu berakhir dengan keputusan seri.



Juve kini tidak tewas dalam enam perlawanan liga terakhir dan hanya ketinggalan tiga mata di belakang pasukan di tangga keempat, Atalanta -- yang berkelebihan satu perlawanan dalam tangan -- manakala Napoli pula kekal di tangga ketiga.

Bianconeri seterusnya akan bertandang ke laman AS Roma kendalian Jose Mourinho pada hujung minggu ini manakala Napoli pula akan menantikan kunjungan Sampdoria di Stadio Diego Armando Maradona pada hari yang sama.