Aksi Diego Costa yang menamatkan kemarau golnya di Stamford Bridge menimbulkan rasa kagum yang mendalam kepada jurulatih Chelsea, Antonio Conte.

Penyerang Sepanyol itu menjaringkan gol buat kali pertama dalam lapan perlawanan untuk membawa pendahulu Liga Perdana Inggeris itu berkelebihan dua gol pada separuh masa kedua perlawanan hari ini menentang Southampton, meningkatkan koleksi golnya kepada 50 dalam liga utama England.

Chelsea memastikan kemenangan 4-2 ke atas Southampton dan melebarkan tujuh mata mengatasi Tottenham dalam persaingan merebut gelaran, dengan pencabar terdekatnya itu akan beraksi menentang Crystal Palace, awal pagi nanti.

"Ia adalah perkara biasa bagi penyerang bahawa menjaringkan gol adalah penting. Gol adalah nyawa mereka," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

"Tetapi, bagi saya, saya selalu berkata saya gembira dengan komitmennya, kerjanya untuk pasukan. Dia sentiasa bekerja untuk pasukan.

"Kadang-kadang dia tidak bernasib baik dalam pelbagai keadaan yang berbeza, tetapi saya sentiasa yakin dengannya.

"Selepas perlawanan Tottenham, saya berkata dia pasti akan menjaringkan gol dalam minggu-minggu terakhir musim ini.

"Sekarang dia mesti teruskan. Dia sangat penting bagi kami. Keyakinannya adalah sangat penting bagi kami.

"Dia menjaringkan dua gol yang sangat cantik, kombinasi yang baik dan teknik di antara dia dan rakan sepasukannya."

Penghargaan itu mengendurkan khabar angin perselisihan di antara kedua-duanya pada Januari, apabila Costa dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Super China.

Conte tidak mahu membincangkan mengenai masa depan jangka panjang bekas bintang Atletico Madrid itu, dengan tumpuan utama adalah perebutan gelaran.

"Saya mengulanginya: Ia adalah penting untuk memberi tumpuan kepada masa ini kerana ia penting untuk kami semua," katanya.

"Dalam tempoh ini, saya membaca banyak spekulasi mengenai tiap-tiap seorang daripada kami.

"Saya yakin pemain saya memberi tumpuan kepada sasaran. Ia adalah normal pada bahagian ini pada musim ini untuk mempunyai seseorang yang mahu meletakkan masalah dalam pasukan anda, juga untuk mewujudkan gangguan tetapi kami mesti lebih kuat daripada spekulasi ini.

"Kami mesti kuat dan berfikir sasaran kami adalah benar-benar penting daripada pasukan lain."

Seorang pemain yang tidak lagi bersama musim depan adalah kapten kelab, John Terry, yang menjadi pemain gantian pada lewat perlawanan pertama selepas mengumumkan akan menamatkan kerjasama panjang bersama kelab itu, awal bulan ini.

"John (Terry), bagi kami, adalah pemain yang benar-benar penting," kata Conte. "Dia melakukan tugas yang besar musim ini. Yang pasti, ia bukan mudah untuknya.

"Musim ini, dia tidak banyak bermain. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada John tetapi dia tahu kekaguman saya terhadapnya.

"Dia banyak membantu saya tetapi bukan saya sahaja. Juga pasukan, setiap pemain, dan dia sentiasa bersedia untuk menerima setiap keputusan saya.

"Apabila anda mempunyai pemain jenis ini, anda mesti gembira. Bagi saya, ia akan menjadi satu kehilangan besar musim depan."