Diego Simeone menaruh harapan agar Diego Godin cergas untuk menghadapi Juventus, namun memberi amaran kepada Atletico Madrid supaya tidak menumpukan kepada kelibat Cristiano Ronaldo semata-mata.

Godin tersisih dalam kemenangan 1-0 ke atas Leganes dalam aksi LaLiga hujung minggu lalu sebagai langkah berjaga-jaga terhadap kecederaan otot pahanya.

Simeone berkata pemain tengah itu kelihatan cergas dalam latihan dan menganggapnya akan bersedia untuk beraksi dalam aksi timbal balik Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi esok.

Bagaimanapun, pengurus itu berkata Atletico akan terperangkap sekiranya beliau meminta Godin memberi tumpuan hanya untuk mengekang Ronaldo.

"Godin dalam keadaan baik. Saya fikir dia boleh diturunkan," Simeone memberitahu sidang akhbar.

"Saya tidak fikir kita hanya perlu bercakap tentang Cristiano Ronaldo. Juve masih memiliki (Paulo) Dybala, (Mario) Mandzukic selain terdapat ramai lagi pemain utama Juventus yang perlu kami perhatikan."

Atletico membawa bekalan 2-0 hasil perlawanan pertama di Stadium Allianz, namun Simeone menegaskan mereka tidak harus menganggap diri mereka sebagai pilihan untuk mara.

"Tidak, adalah sukar kerana perlawanan ini masih separuh jalan untuk mengatakan bahawa kami adalah pasukan pilihan. Kami perlu tunggu sehingga tamat permainan," katanya.

"Apabila pusingan kalah mati bermula dengan melibatkan pasukan gergasi, anda mempunyai dua tempoh yang berasingan: satu aksi di laman sendiri dan satu lagi di tempat lawan. Pasukan yang mempamerkan aksi terbaik akan layak.

"Peringkat ini melibatkan dua perlawanan. Kedua-duanya adalah perlawanan penting dan hanya sebuah pasukan yang akan mara. Sesiapa yang mengambil peluang terhidang, pasukan itulah akan mara."

Simeone juga berharap Alvaro Morata dapat memaparkan aksi positif ketika berdepan bekas kelabnya itu setelah mencetak tiga gol dalam dua penampilan sejak diturunkan dalam pertemuan pertama lalu.

"Morata sama seperti penyerang dunia yang lain. Dia mampu membantu pasukan, memberikan saingan dan mengambil kesempatan jika pasukan lawan terleka," tambahnya.

"Semoga dia dapat memainkan watak penting untuk kami."