Pengerusi bersama Manchester United, Joel Glazer, berjanji untuk membincangkan isu pembabitan peminat dalam saham The Red Devils selain akur dengan seruan penyokong yang tidak berpuas hati selepas seminggu pergolakan di kelab itu.

Glazer memberikan jawapan bertulis di laman sesawang rasmi United terhadap surat yang diutarakan daripada forum peminat yang menuntut rundingan lebih meluas dengan penyokong selepas hasrat kelab itu untuk menyertai Liga Super Eropah (ESL).

Ia kenyataan pertama daripada Glazer sejak penyokong memprotes pemilikan mereka sebelum perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) bertemu Liverpool, hujung minggu lalu.

Sekumpulan peminat, yang masih dilarang menghadiri perlawanan berikutan ancaman COVID-19, mecerobohi padang Old Trafford sementara beratus-ratus yang lain berkumpul di Hotel Lowry bagi menyekat pasukan daripada keluar untuk meneruskan perlawanan itu.

Empat langkah dikemukakan peminat kepada Glazer, antaranya mewujudkan skim saham peminat yang memberikan penyokong hak bersuara, sokongan terhadap tinjauan kerajaan yang diketuai peminat, pelantikan pengarah bebas dalam lembaga pengarah dan rundingan berkala dengan pemegang tiket musim mengenai keputusan-keputusan penting.

Sebagai tindak balas, Glazer menulis: "Sebagai salah sebuah kelab bola sepak Eropah yang tersenarai di pasaran awam, kami percaya dengan prinsip peminat memiliki saham di kelab tersebut.

"Kami pernah terlibat dengan kumpulan 'Manchester United Supporters Trust' mengenai pemilikan saham peminat dan kami ingin meneruskan dan mempercepat perbincangan tersebut, termasuk peruntukan untuk meningkatkan rundingan bersama peminat.

"Secara khususnya, saya mengakui perlunya perubahan, rundingan yang lebih mendalam dengan anda (forum peminat) sebagai badan utama perwakilan peminat dalam menyuarakan pelbagai isu penting termasuk kejohanan yang akan kami sertai.

"Kami juga menyedari kepentingan peminat dan matlamat bola sepak dalam menentukan keputusan penting di setiap peringkat kelab ini, jadi kami terbuka untuk perbincangan membina tentang bagaimana untuk memperkuatkan prinsip itu."




Glazer juga bersedia dan terbuka untuk terlibat dengan program tinjauan kerajaan yang dikendalikan oleh peminat sambil menggambarkannya sebagai peluang positif untuk meneroka struktur baru terhadap penglibatan dan pengaruh peminat".

Di kesempatan itu juga, dia sekali lagi meminta maaf atas kesilapan yang dilakukan berhubung usul ke Liga Super yang mendapat tentangan hebat kerana bersifat persaingan tertutup.