PERANCIS 2 BELANDA 1

Kylian Mbappe mempamerkan persembahan cemerlang sejak Perancis menjuarai Piala Dunia dan Olivier Giroud menamatkan kemarau gol untuk membolehkan Les Bleus menewaskan Belanda dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA, awal pagi tadi.


Bintang muda Paris Saint-Germain (PSG), Mbappe, merupakan salah seorang tonggak Perancis yang menjulang trofi Piala Dunia di Perancis dan dia sekali lagi menyinar dalam aksi pertama di Stade De France sejak meraih kejayaan itu.

Mbappe membuka tirai jaringan pada minit ke-14 tetapi Belanda yang dikendalikan oleh Ronald Koeman kembali menyamakan kedudukan hasil gol daripada Ryan Babel selepas sejam perlawanan.

Penggempur Chelsea, Giroud, gagal menjaringkan gol ketika Russia 2018 tetapi sepakan voli yang dilakukan hasil daripada hantaran lintang Benjamin Mendy memberikannya jaringan pertama dalam 11 perlawanan.

Namun, Belanda tampak kukuh bertahan tatkala juara dunia itu terlalu yakin walaupun barisan depan pasukan gagal menghadirkan banyak peluang.

Mbappe melepaskan dua peluang keemasan untuk menewaskan Jasper Cillessen sebelum akhirnya menggunakan kesempatan hasil kesilapan mudah benteng pelawat.

Beberapa percubaan untuk mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya oleh Babel dan Daley Blind akhirnya dirosakkan oleh Quincy Promes yang menanduk bola ke arah Blaise Matuidi, sebelum Mbappe mudah menolak masuk bola hantaran lintang pemain tengah Juventus itu.

Walaupun aksi telah berlangsung selama sejam, Perancis tetap kekal mengawal permainan dan tidak terkesan dengan usaha Georginio Wijnaldum yang sekadar mensia-siakan peluang ketika masuk ke dalam kotak penalti.

Kenny Tete melakukan gerakan dari sebelah kanan, melepasi halangan pemain gantian, Mendy, dan pantas mencari Babel untuk menyempurnakan peluang dari jarak dekat.

Memphis Depay sekadar menggegarkan tepi jaring gol sambil penggempur Lyon itu sekali lagi melepaskan peluang pada minit ke-71.

Perancis pantas menunjukkan taring walaupun sebelum itu Cillessen kerap menjadi penghalang, setelah sepakan kaki kiri Giroud tepat menuju ke dalam gawang.