Olivier Giroud dan Aaron Ramsey mengakui Arsenal terkejut dengan keazaman yang dipamerkan Preston North End ketika separuh masa pertama pertembungan mereka dalam pusingan ketiga Piala FA pada Sabtu.

Kegagalan memulakan permainan dengan baik dihukum Preston apabila Callum Robinson membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh.

Preston berpeluang menambah jaringan menerusi Jordan Hugill dan Paul Gallagher, namun percubaan mereka gagal menemui gawang.

Arsenal kembali bangkit dalam separuh masa kedua menerusi Ramsey dan Giroud yang meledak gol kemenangan di hujung perlawanan.

"Kami mahu bermula dengan baik berbanding ketika kami berdepan Bournemouth tetapi mereka mengejutkan kami dengan gol awal," Giroud memberitahu BT Sport.

"Kami tidak bermain dengan baik pada babak pertama, jadi kami mahu bangkit selepas tamat waktu rehat.

"Itulah yang kami lakukan dengan gol awal pada babak kedua dan dari situ, kami cuba mengejar gol kemenangan.

"Tetapi kami perlu memulakan perlawanan dengan lebih baik."

Senada dengan Giroud, Ramsey mengakui terkejut dengan aksi yang dipamerkan Preston.

"Kami terkejut dengan komitmen mereka, kami juga gagal menyaingi kesungguhan mereka," ujar Ramsey.

"Saya gembira kerana dapat menjaringkan gol tetapi apa yang paling penting, kami muncul pemenang dalam perlawanan itu."