Olivier Giroud dan Ousmane Dembele kembali berada dalam senarai pemain kebangsaan Perancis pada ketika ketua jurulatih, Didier Deschamps, kehilangan beberapa nama-nama besar bagi dua perlawanan Liga Negara-Negara Eropah (UNL) bulan ini selain berisiko kehilangan khidmat Paul Pogba dalam Piala Dunia Qatar, November depan.

Pemain tengah Juventus, Pogba -- yang menjaringkan gol ketika Perancis menewaskan Croatia 4-2 dalam final Piala Dunia 2018 -- berperang dengan masa untuk kembali cergas menjelang edisi di Qatar kali ini, selepas menjalani pembedahan lutut minggu lalu.

"Dia akan melakukan segala-galanya untuk segera pulih tanpa mengambil sebarang risiko tetapi tiada siapa hari ini dapat menentukan sama ada dia dapat melakukannya atau tidak," kata Deschamps kepada wartawan di Paris.

"Syarat paling utama adalah dia perlu pulih daripada kecederaannya. Saya tidak pernah membawa pemain yang belum pulih sepenuhnya ke mana-mana kejohanan."

Perancis akan memulakan kempen Piala Dunia dengan menentang Australia pada 22 November depan.

Karim Benzema juga turut diketepikan bagi perlawanan menentang Austria dan Denmark bulan ini selepas mengalami kecederaan paha ketika mewakili Real Madrid.

Dalam pada itu, Giroud, yang akan berusia 36 tahun dalam Piala Dunia kali ini, mendapat ganjaran daripada prestasi cemerlang bersama AC Milan untuk kembali mendapat panggilan kebangsaan.

Dembele pula akan melakukan penampilan pertamanya buat Les Bleus sejak kali terakhir mewakilinya pada Jun tahun lalu -- sebelum dia kemudian dipinggirkan menjelang Euro 2020.

Perancis akan menantikan kunjungan Austria di Paris pada Khamis depan sebelum ke Copenhagen bagi menghadapi Denmark tiga hari kemudian.

Walaupun kedua-dua perlawanan itu dilihat sebagai persiapan sebelum ke Piala Dunia, Perancis ketika ini sedang menduduki tangga terbawah Kumpulan A1 dan ia bermaksud, mereka memerlukan kemenangan tidak tersingkir ke Liga B musim depan.


Senarai pemain Perancis:
Alphonse Areola (West Ham United), Hugo Lloris (Tottenham Hotspu), Mike Maignan (AC Milan), Benoit Badiashile (Monaco), Jonathan Clauss (Marseille), Theo Hernandez (AC Milan), Jules Kounde (Barcelona), Ferland Mendy (Real Madrid), Benjamin Pavard (Bayern Munich), William Saliba (Arsenal), Dayot Upamecano (Bayern Munich), Raphael Varane (Manchester United), Eduardo Camavinga (Real Madrid), Youssouf Fofana (Monaco), Matteo Guendouzi (Marseille), Adrien Rabiot (Juventus), Aurelien Tchouameni (Real Madrid), Ousmane Dembele (Barcelona), Olivier Giroud (AC Milan), Antoine Griezmann (Atletico Madrid), Randal Kolo Muani (Eintracht Frankfurt), Kylian Mbappe (Paris Saint-Germain), Christopher Nkunku (RB Leipzig)