Pemain tengah Paris Saint-Germain (PSG), Marco Verratti, sangat gembira dengan prospek bergandingan dengan Lionel Messi dalam Ligue 1.

Kontrak bintang Barcelona dan pemenang enam kali Ballon d'Or itu akan tamat hujung musim ini dan semakin hangat dikaitkan dengan PSG selain gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City.

Ketika masa depan Messi menguasai tajuk utama, Verratti berminat untuk bercakap mengenai kemungkinan kelibat pemain Argentina itu di Paris kelak.

"Sudah tentu, saya ingin beraksi di samping Messi," kata pemain antarabangsa Itali itu kepada Canal+.

"Memilikinya dalam skuad akan menjadi sesuatu yang luar biasa, ibarat satu lagi anugerah dalam kerjaya saya.

"Saya akan jolok bola kepada Neymar atau Messi dan kekal di belakang mereka hanya untuk menikmati sedikit kelincahan mereka."



PSG dan Barcelona akan bertemu dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) dengan pertemuan pertama bakal berlangsung di Camp Nou, Rabu depan.

Ini akan menjadi pertemuan menarik di antara Messi dan Neymar yang meninggalkan Barca dalam perjanjian pada 2017.

"Kami bukannya dungu. Kami tahu bahawa dia adalah pemain terbaik dan peranan kami pula ialah meletakkannya dalam keadaan terbaik," katanya mengenai Neymar yang merekodkan 13 gol musim ini.

"Dia tahu ketika saya mengawal bola, saya akan mencarinya dulu. Dia selalu melakukan gerakan untuk menerima bola dengan baik."

Pasukan yang dibimbing Mauricio Pochettino itu menguasai tangga ketiga Ligue 1 selepas 24 perlawanan, tiga mata dipisahkan dengan pendahulu, Lille, selepas melakar kejayaan 2-0 dalam 'aksi Classique' menentang Marseille, kelmarin.

PSG akan berdepan Caen dalam Coupe de France, awal pagi Khamis ini, sebelum menyambut Nice ke ibu negara Perancis bagi aksi Ligue 1 (Sabtu tengah malam).