Jika semalam Shakir Hamzah, hari ini Nazirul Naim Che Hashim pula menyusul melangkah keluar dan jurulatih Perak FC, Chong Yee Fatt, mengakui perasaaanya ketika ini bercampur baur.

Ada sedih ada marah namun berbalik kepada keperluan hakiki pemain, siapalah dia untuk menahannya daripada ia berlaku.

Sukarnya untuk mempertahan reputasi Perak, yang satu masa dahulu gah dengan rekod dan kejayaan dalam saingan Liga Malaysia.

Apa yang tidak kena dengan Yee Fatt, di saat dia mengemudi Perak, segalanya serba tidak menjadi.

Bermula dengan masalah kewangan, membawa kepada situasi dia kini kehilangan 70 peratus pemain utamanya dan Yee Fatt sendiri tidak tahu bila situasi ini akan berakhir.

"Kini barisan pemain Perak II juga bertemu saya mahu bertemu dan membincangkan hala tuju mereka," katanya.

Terkini, Nazirul muncul sebagai pemain keenam Perak yang membuat keputusan untuk meninggalkan pasukan negeri kelahirannya itu.

"Dia telah membuat permintaan untuk meninggalkan pasukan, namun dia tidak memberitahu kami ke mana pasukan yang mahu disertai."