Patrick Cutrone harus meninggalkan AC Milan demi memperbaiki dirinya sebagai pemain, saran bekas penyerang yang pernah berkelana di San Siro, Alberto Gilardino.

Penyerang B-21 Itali itu, yang dinilai berharga €25 juta (RM117.9j) oleh Milan, meledak gol dalam Kejohanan Euro B-21 ketika menentang Belgium, Sabtu lalu, untuk kembali menghidupkan spekulasi tentang masa depannya di peringkat kelab.

Dia menarik perhatian kelab LaLiga dan Bundesliga, Januari lalu, dan ejennya, Gilardino, memberitahu Gazzetta dello Sport bahawa pemain muda berkenaan harus mencari lebih banyak peluang dalam skuad utama di tempat lain berikutan hanya 12 kali dipertaruhkan Milan pada musim lalu.

Ketika ditanya apakah dia akan menasihati Cutrone untuk pergi, bekas pemain antarabangsa Itali itu menjawab: "Ya, ini kerana dia pasti akan memiliki lebih banyak peluang lagi untuk bermain secara kerap.

"Masa depannya mungkin jauh daripada Milan, di mana dia mungkin diberikan peluang untuk menjadi pemain yang sangat penting."

Musim penuh kedua Cutrone sebagai pemain pasukan utama Rossoneri menyaksikannya sekadar menghimpunkan tiga gol Serie A -- kurang tujuh gol daripada musim sebelumnya walaupun ketika itu dia hanya tampil enam perlawanan.

Gilardino, yang menyumbang 36 gol dalam 94 aksi liga dengan Milan, berkata Cutrone akan menjadi pelaburan yang berharga di kelab lain.

"Dia bertambah baik dan sudah berusaha tahun ini," kata Gilardino, yang memenangi Liga Juara-Juara (UCL) bersama Milan pada 2007.

"Dia boleh bermain di banyak posisi, sama ada di belakang penyerang utama ataupun sebagai pemain tengah.

"Sungguhpun dia masih muda dan harganya mahal, saya tetap akan menandatanganinya."