WALES 1 BELARUS 0

Ryan Giggs melabel Daniel James sebagai menakjubkan selepas pemain sayap muda itu meneruskan kempen mengagumkan apabila muncul wira Wales dengan jaringan tunggal ke atas Belarus.


James menyusup dari sebelah sayap kiri sebelum melencongkan bola untuk melepasi Maksim Plotnikov untuk jaringan kemenangan pada minit ke-17 dalam aksi persahabatan di Stadium Cardiff City, awal pagi tadi.

Dia kini menjaringkan dua gol berturut-turut dalam enam penampilan bersama skuad senior sejak menyertai Manchester United yang menyaksikan pemain berusia 21 tahun itu menjaringkan tiga gol dalam empat penampilan pertamanya sejak berpindah dengan perjanjian bernilai £15 juta (RM77.2j).

Giggs terlintas untuk merehatkan pemain tersebut dalam aksi ujian itu, yang disaksikan hanya 7,666 penonton, namun bekas pemain Swansea City itu memenangi tempatnya dalam kesebelasan utama dan menyerlah ketika beroperasi di bahagian sayap.

"Ia adalah satu keputusan yang sukar sama ada mahu menurunkan atau merehatkan Dan, namun dia berhajat untuk beraksi," kata Giggs dalam sidang media selepas perlawanan.

"Apabila anda berada dalam prestasi seperti itu, pemain hanya mahu bermain dan terus mencetak gol. Dia membuatkan penyokong teruja. Setiap kali dia mendapat bola, peminat mahu dia melakukan sesuatu.

"Mengenai peminat, saya ingin berterima kasih kepada yang hadir kerana ia bukan mudah. ​​Sekolah-sekolah telah kembali dibuka, jadi mereka sukar untuk datang menyokong. Tetapi saya fikir mereka akan menikmati permainan malam ini dan persembahan Dan selain prestasi pasukan. "

James sempat dibandingkan dengan kemampuan Giggs yang pernah membintangi United dan negaranya, justeru dia dicabar untuk meneruskan persembahan baiknya.

"Sama seperti mana-mana pemain sayap muda yang lain, saya fikir dia masih boleh memperbaiki sentuhan terakhirnya dan meledak lebih banyak gol lagi dan (semakin kerap) melakukannya," kata jurulatih itu, yang menghabiskan tempoh selama 24 tahun mewakili pasukan senior The Red Devils.

"Untuk melakukan apa yang dilakukannya pada permulaan musim ini adalah sesuatu yang menakjubkan. Langkah seterusnya bagi dia ialah menunjukkan ketekalan dan dia perlu meneruskannya. Bagaimanapun, saya tidak meragui apa yang akan berlaku kerana dia mahu menjadi yang terbaik.

"Dia memiliki karakter dan pelatih yang hebat. Dia mahu beraksi malam ini. Saya sangat gembira baginya. Dia seorang yang pemain yang anda tahu apa yang akan dilakukannya tetapi anda tidak boleh menyekatnya."

James turut beraksi penuh ketika menundukkan Azerbaijan 2-1 dalam perlawanan kelayakan Euro 2020, Sabtu lalu dan kini akan kembali ke pangkuan kelabnya menjelang pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan Leicester City, Sabtu ini.

"Pada saat ini, saya mencintai bola sepak," katanya kepada Sky Sports.

"Saya bermula dengan baik musim ini dan saya perlu terus melakukannya.

"Saya mempunyai orang yang tepat di sekeliling saya -- pengendali di sini dan di United juga hebat -- dan ia mengenai untuk meneruskannya."

Tambahnya: "Saya tahu ia hanya aksi persahabatan tapi kami menampilkan corak permainan yang hebat dan kami sepatutnya menyumbat dua atau tiga gol lagi. Kami perlu menjaringkan lebih banyak gol dalam aksi seterusnya."

Wales akan kembali menyambung kempen kelayakan pada 11 Oktober depan dengan berkunjung ke Slovakia dan menghadapi Croatia di Cardiff, tiga hari kemudian.