Pengurus Wales, Ryan Giggs, ditahan kerana disyaki melakukan serangan, lapor media Britain hari ini.

The Sun mendedahkan polis dipanggil ke rumah bekas pemain sayap Manchester United berusia 46 tahun itu pada Ahad malam lalu selepas menerima laporan berhubung gangguan.

"Seorang wanita berusia 30-an mengalami cedera ringan tetapi tidak memerlukan rawatan,” kata media Britain memetik kenyataan daripada Polis Greater Manchester.

"Seorang lelaki berusia 46 tahun ditangkap kerana disyaki melakukan jenayah di bawah seksyen 47 dan seksyen 39 serangan ringan."

Dia dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu siasatan, kata surat kabar itu.

Polis Greater Manchester, bagaimanapun, belum bersedia untuk mengulas lanjut.

Dalam masa sama, Persatuan Bolasepak Wales (FAW) mengakui tuduhan terhadap Giggs itu.

"FAW menyedari kejadian yang didakwa melibatkan pengurus pasukan kebangsaan, Ryan Giggs," kata mereka dalam satu kenyataan.

"FAW tidak akan mengulas lanjut pada masa ini."

Wales menangguhkan pengumuman skuad itu pada hari ini menjelang perlawanan menentang Amerika Syarikat, Ireland dan Finland bulan ini.