HUNGARY 1 WALES 0

Ryan Giggs mengakui dia berdepan kesukaran untuk mencari peranan efektif buat Gareth Bale dalam skuad kebangsaan Wales selepas bintang serangan Real Madrid itu bergelut ketika tewas 1-0 di tangan Hungary dalam pusingan kelayakan Euro 2020 di Budapest, awal pagi tadi.


Bale melepaskan peluang terbaik Wales selepas melakukan sepakan lemah dari jarak 12 ela ke arah penjaga gol Hungary, Peter Gulasci, sebelum Mate Patkai menghukum kegagalan itu dengan menjaringkan gol kemenangan tuan rumah pada 10 minit terakhir perlawanan.

Selepas meletakkan Dan James selaku penyerang tunggal sambil Bale berperanan selaku pemain sayap kiri, Giggs menjelaskan pemain itu tidak berdepan sebarang masalah motivasi sewaktu sesi latihan walaupun pemain berusia 29 tahun itu melewati waktu sukar bersama Real Madrid sepanjang musim ini.

"Dia amat kecewa, sama seperti keseluruhan kami selepas dua perlawanan ini," katanya ketika ditanya mengenai Bale.

"Saya sudah katakan sebelum ini, dalam kem latihan, dia amat hebat di setiap posisi yang diletakkan.

"Ia masalah kecergasan yang sukar diatasi selepas sudah lama tidak beraksi dan waktu rehat yang pendek.

"Dengan cara permainannya, dengan cara larian berkeamatan tinggi, ia amat sukar.

"Namun, dia boleh bermain di posisi itu, ia bukan masalah.

"Ia sentiasa sukar untuk mencari posisi yang efektif buat Gareth.

"Kami mempunyai ramai pemain yang mampu mengisi posisi nombor 10.

"Gareth telah membuktikan sepanjang beberapa tahun ini bahawa dia boleh beraksi di depan, sebagai pemain nombor 10.

"Ia tugas saya untuk memastikan posisi terbaik buatnya dan untuk meletakkan setiap pemain di posisi terbaik juga," katanya.

Kekalahan itu merupakan yang kedua buat Wales dalam tempoh empat hari.

Ia meletakkan mereka di tangga kedua tercorot Kumpulan E selepas tiga perlawanan.

Giggs sedar kesukaran yang dialami pasukannya untuk kembali ke landasan tepat berbaki lima perlawanan.

Pasukan di tangga tercorot, Azerbaijan, akan menjadi lawan Wales yang seterusnya, 6 Spetember depan, dan Giggs berharap pasukannya akan beraksi lebih baik dalam perlawanan itu.

Selepas ditewaskan Croatia 2-1 tiga hari sebelum kekalahan kepada Hungary itu, Giggs berkata: "Kami berdepan dua perlawanan sukar di gelanggang lawan selepas lima minggu musim tamat dan anda dapat melihatnya dalam kedua-dua perlawanan.

"Kebanyakan pemain kurang cergas dan kami mengharapkan keajaiban daripada mereka.

"Ethan (Ampadu) tidak dapat beraksi baik, saya hanya dapat menggunakannya selama 50 minit.

"Brooksy (David Brooks) juga sama.

"Saya terpaksa menurunkan Gareth dalam dua perlawanan dengan tempoh rehat yang singkat selepas dia tidak beraksi sejak enam minggu lalu.

"Namun, kami berpeluang besar untuk memenangi perlawanan ini.

"Ia sukar, terlalu sukar buat pemain kami yang tidak cergas, namun kami mungkin perlu memenangi setiap perlawanan bermula sekarang.

"Kami menyukarkan diri kami sendiri dan mungkin perlu mengharapkan pasukan lain keciciran mata.

"Ia pasti akan terjadi kerana kumpulan ini amat kompetitif.

"Namun, sudah pasti kami perlu bermula untuk memenangi perlawanan.

"Jika tidak memenangi kesemuanya, kami perlu memenangi kebanyakannya," tambahnya.