Penjaga gol, Gianluigi Donnarumma, mengakui dia tidak berkelana ke Paris Saint-Germain (PSG) untuk duduk di bangku simpanan, tetapi akan tetap bersikap merendah diri dalam usahanya untuk merampas kedudukan Keylor Navas.

Donnarumma meninggalkan Milan sebaik kontraknya tamat penghujung Jun lalu sebelum menyertai gergasi Ligue 1 itu secara percuma.

Pemain berusia 22 tahun itu -- yang membuat kemunculan pertama di Milan ketika berusia 16 tahun pada 2015 -- merupakan salah seorang daripada lima bintang baru termasuk Lionel Messi yang direkrut dalam jendela perpindahan musim panas ini.

Selepas membuat 30 penampilan Serie A sepanjang 2015-16, Donnarumma hanya terlepas lima perlawanan liga untuk Milan dalam lima kempen terakhir, secara tidak langsung mengangkatnya sebagai salah seorang penjaga gol terbaik di dunia.

Dia mengukuhkan reputasinya dalam Euro 2020 apabila memainkan peranan utama ketika Itali menjuarai kejohanan berkenaan dengan menyelamatkan dua tendangan dalam penentuan sepakan penalti dengan England dalam pertembungan final 12 Julai lalu.

Namun, dia mendapati dirinya memulakan kempen 2021-22 di belakang Navas dan khidmatnya masih dipinggirkan ketika menang PSG 4-2 ke atas Brest, hujung minggu lalu.

"Saya datang ke Paris untuk beraksi. PSG memburu saya serta menginginkan saya. Dan saya juga mahukan PSG," katanya kepada Canal Plus.

"Saya datang ke mari untuk beraksi jadi saya akan memberikan yang terbaik untuk posisi utama tetapi mesti ada persaingan. Saya sudah bersedia untuk diturunkan.

"Saya mahu menjadi salah seorang penjaga gol terbaik di dunia dan untuk mencapainya, ia memerlukan pengorbanan dan sikap rendah diri. Merendah diri adalah perkara yang paling penting."

Perpindahan Donnarumma ke ibu kota Perancis itu telah menimbulkan beberapa persoalan memandangkan rakan sepasukannya dari Costa Rica tersebut telah membuktikan kemampuannya.






Dalam saingan Ligue 1 musim lalu -- tidak termasuk sepakan penalti dan gol sendiri --- Navas sekadar melepaskan 17 gol sementara sementara Donnarumma 35 kali dalam kancah Serie A.

Navas mungkin berasakan bahangnya ketika ini selepas gagal mengekang tendangan lemah Franck Honorat ketika PSG mendahului Brest 2-0.

Donnarumma menegaskan persaingannya dengan Navas, yang masih belum mencatat kemenangan dalam tiga penampilan Ligue 1 musim ini, adalah berlandaskan profesionalisme dan ia tidak akan mempengaruhi hubungannya dengan rakan sepasukannya itu.

"Persaingan tidak menggerunkan saya. Keylor merupakan penjaga gol yang (bereputasi) besar tetapi saya di sini untuk beraksi. Persaingan ini bagus dan boleh membantu kami terus meningkat prestasi," tambahnya.

"Keylor adalah orang yang hebat, kami berkawan dan tiada masalah, persaingan adalah normal di kelab besar."