Bekas pemain Kuantan FA, Abdul Ghani Abd Rahman, mempersoalkan kemampuan pasukan itu untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain walaupun sudah diarahkan untuk berbuat demikian oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Ghani adalah antara 24 pemain Kuantan FA yang tidak dibayar gaji oleh pasukan itu sejak Disember lalu.

Membabitkan jumlah kedua tertinggi sebanyak RM45,000, Ghani menyambut baik tindakan Jawatankuasa Status Pemain FAM yang mengarahkan Kuantan FA untuk melunaskan tunggakan gaji mereka.

Namun, bekas pemain Selangor dan PKNS FC itu tetap resah walaupun pasukan itu sudah diarahkan untuk menyelesaikannya dalam tempoh 30 hari daripada tarikh penerimaan keputusan berkenaan.

"Kalau mengikut surat daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), mereka mengarahkan Kuantan FA membayar dalam masa 30 hari bermula semalam tetapi seperti yang diketahui, Kuantan FA memang tidak berduit. Jadi, adakah mereka mampu untuk membayar?

"Daripada pihak pemain, kami menyerahkan segala-galanya kepada peguam dan PFAM," kata Ghani.

Kuantan menanggung tunggakan gaji pemain yang paling tinggi berbanding Perlis dan PJ Rangers, iaitu berjumlah RM763,062.

Ghani kini terpaksa menjadi jurulatih sambilan untuk mendapatkan sumber kewangan setelah ketiadaan pasukan untuk beraksi.

"Alhamdulillah, saya telah melakukan sedikit persediaan, cuma ada rakan sepasukan, terutama pemain muda yang baru bermain bola tidak memiliki sebarang pilihan lain. Jadi, bagaimana masa depan mereka?

"Ada antara mereka yang baru berkahwin, baru menerima cahaya mata. Bagaimana nasib mereka?"