Biarpun cuma 15 minit diberi peluang beraksi di atas padang, pemain sayap berbakat, Mohamad Fazrul Amir Md Zaman atau Ghaddar, berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan sambil berharap terus diberi peluang oleh pengendali, Zahasmi Ismail, selepas ini.

Ghaddar yang masuk menggantikan penyerang utama, Gassama Alfussainey berjaya mengucar kacirkan benteng pertahanan Negeri Sembilan sekaligus membantu Kelantan United FC (KUFC) mengecapi kemenangan ketiga liga. Lebih manis, penampilan pertamanya itu menerima pujian Zahasmi selepas aksi berakhir.

“Dia (Ghaddar) berjaya tunjukkan keyakinan tinggi, berani mengelecek dan tidak gentar dengan asakan pertahanan lawan. Saya yakin prestasi pemain ini akan lebih meningkat pada masa akan datang,” ulas Zahasmi.

Ghaddar yang pernah beraksi untuk skuad belia PKNS musim lepas, anggap pujian itu menambahkan lagi semangatnya untuk berusaha lebih gigih biarpun sedar saingan merebut tempat kesebelasan utama Kijang Hijau cukup sengit.

“Satu peluang yang ditunggu-tunggu oleh mana-mana pemain muda macam saya. Kepercayaan yang diberi dan masuk menggantikan penyerang utama (Gassama) satu kebanggaan buat karier saya.

“Sedikit gemuruh namun sokongan daripada rakan sepasukan membolehkan saya menguasai tekanan dan berjanji akan baiki segala kekurangan yang ada,” jelasnya.

Pemain kelahiran Tanah Merah berusia 20 tahun itu memberitahu, dia cukup bersemangat mengikuti modul latihan yang dibekalkan pengurusan kelab bagi memastikan stamina dan kecergasan berada pada tahap terbaik.

“Setiap hari saya akan luangkan masa lebih sejam (sama ada pagi atau petang) untuk berlatih mengikut program yang ditetapkan sambil memberi fokus kepada pergerakan kaki dan kekuatan otot,” ulasnya.

Mengulas prestasi semasa KUFC musim ini, Ghaddar mengganggap semua pemain telah memberikan aksi terbaik sehingga mampu berada di tangga kedua liga dengan mengutip sembilan mata daripada empat perlawanan

“Setakat ini kami hanya kehilangan mata kepada Kelantan FA sahaja namun kejayaan terakhir menumpaskan Negeri Sembilan 3-0 di gelanggang sendiri sebelum Liga Perdana ditangguhkan akibat Covid-19 membakar semangat untuk terus berusaha mengejar pendahulu liga Terengganu FC II,” ulasnya.