Jurgen Klopp sedang merentasi era terbaik Liverpool yang pernah disaksikannya, menurut legenda kelab itu, Steven Gerrard.

Liverpool kekal memburu empat kali kejuaraan walaupun keputusan seri 1-1 dengan Tottenham pada hujung minggu lalu menyaksikan mereka ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City.

Walaupun The Reds pernah memenangi Piala Eropah dan Liga Juara-Juara (UCL) sebanyak enam kali, Gerrard percaya skuad ketika ini adalah yang terbaik yang pernah mereka miliki.

"Oleh kerana cara permainan telah berubah -- ia menjadi lebih deras, lebih pantas jadi saya fikir anda mungkin sedang menyaksikan pasukan Liverpool terbaik yang pernah ada. Ini disebabkan kepantasan, mentaliti dan keamatan kumpulan pemain ketika ini," kata bekas ketua pasukan itu.

"Tetapi saya berkata sebegini bukanlah kerana tidak menghormati skuad Liverpool sebelum ini memadangkan saya membesar memerhati mereka. Mereka menjuarai Piala Eropah, memenangi liga secara bersiri -– saya membesar dengan semua itu. Saya sedar sebelum ini mereka juga mempunyai pemain bertaraf dunia termasuk pengurus dan pasukan."



Liverpool berpeluang menjulang UCL buat sekian kali apabila akan menentang Real Madrid dalam perlawanan akhir di Paris pada 29 Mei ini.

Begitupun, Aston Villa kendalian Gerrard berharap dapat merencatkan cita-cita tinggi Liverpool dalam pertemuan EPL, awal pagi esok.

Villa sempat menang bergaya 7-2 musim lalu tetapi mereka masih buntu untuk memenangi perlawanan di tempat sendiri sepanjang bertemu The Reds sejak Februari 1998.

"Kami perlu pastikan bahawa kami cukup berani dan menyajikan kualiti yang cukup untuk menghukum Liverpool," katanya.

"Saya tidak akan mengarahkan pasukan untuk hanya menderita sepanjang 90 minit, tetapi saya tidak mahu ia mengundang kecuaian. Ia perlu diambil kira."