Kapten Selangor, Amri Yahyah, mengakui perkhabaran Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, akan mengambil alih pucuk pimpinan tertinggi Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) memberi semangat baru buat mereka sehingga cemerlang membenam Kelantan 4-0.

Selangor mendapat khabar gembira sebelum pertemuan menentang Kelantan di Stadium KLFA, Cheras, malam tadi.

Ia susulan Tengku Amir Shah dicanang sebagai presiden baru FAS bagi menggantikan Datuk Seri Subahan Kamal yang akan melepaskan jawatannya pada 3 Julai depan.

Amri mengakui peralihan kuasa kerusi panas itu mampu mengembalikan semula zaman kegemilangan Gergasi Merah.

"Ini merupakan semangat baru buat Selangor dan Insya-Allah mungkin ada pembaharuan yang dibawa Tengku Amir Shah.

"Saya harap pemain-pemain dapat memberikan komitmen di atas padang," kata Amri.

Penyerang import, Rufino Segovia, muncul wira pasukannya apabila meledak hatrik dan satu gol lagi disumbangkan Evan Dimas Darmono.

Situasi itu menyaksikan Selangor mengakhiri kemarau empat perlawanan tanpa kemenangan selain memastikan gawang tidak dibolosi buat kali pertama sejak 4 Februari lalu.

"Kami akan buat sebaik mungkin. Kami berharap nafas baru ini akan memberi impak yang baik kepada pasukan," tambah jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir.

Apapun, kemenangan itu juga menjadi habuan bermakna buat FAS yang dikatakan sudah melangsaikan gaji dan bonus kepada semua pemain semalam.