Legenda Bayern Munich dan Jerman, Gerd Muller, menghembuskan nafas terakhir pada usia 75 tahun, umum kelab Bundesliga itu.

Muller menghabiskan 15 tahun kariernya sebagai penyerang Bayern dengan membuktikan dirinya sebagai salah seorang penjaring gol terbaik dalam sejarah sukan ini.

Dia kekal sebagai pencetak gol terbanyak sepanjang zaman Bayern dengan 566 kali dalam 607 perlawanan selain muncul pemegang rekod jaringan terbanyak Bundesliga (365).

Sentuhan berbisanya itu mengangkat Muller untuk memenangi tujuh kali Kasut Emas dan lima daripadanya dengan bekalan sekurang-kurangnya 30 gol.

Kebolehan luar biasanya di depan gawang tidak hanya terbatas bersama Bayern yang menyaksikannya turut memegang rekod jaringan Jerman hingga 2014 sebelum Miroslav Klose mengatasi catatan 68 golnya.

Hanya pada Mei lalu, ia memerlukan penyudah luar biasa daripada Robert Lewandowski untuk memecahkan rekod Muller itu bagi gol terbanyak Bundesliga dalam semusim yang menyaksikannya diberi jolokan 'Der Bomber' selepas mengumpul 40 gol dalam 34 perlawanan ketika membantu Bayern memenangi gelaran 1971-72.





Pada akhir musim itu, Muller membantu Jerman Barat menjuarai Kejohanan Eropah dan dua tahun kemudian, meledak gol kemenangan ketika menewaskan Belanda dalam final Piala Dunia 1974.

Selepas pemergiannya itu, pegawai Bayern memberi penghormatan kepada Muller atas legasinya yang hampir tiada tandingan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bayern, Oliver Kahn, berkata: "Berita kematian Gerd Muller memberi kesan mendalam kepada kita semua. Dia adalah salah seorang legenda tersohor dalam sejarah FC Bayern, pencapaiannya masih tidak dapat ditandingi hingga ke hari ini dan selamanya akan menjadi sebahagian daripada sejarah hebat FC Bayern dan seluruh bola sepak Jerman.

"Sebagai pemain dan secara peribadi, Gerd Muller, telah mengharumkan nama FC Bayern dan meletakkan kami sebagai salah sebuah kelab terbesar di dunia. Gerd akan sentiasa di hati kami selamanya."

Presiden, Herbert Hainer, menambah: "Hari ini adalah hari yang menyedihkan buat FC Bayern dan semua peminatnya. Gerd Muller merupakan seorang penyerang handalan yang pernah wujud -- orangnya baik dan dia memiliki keperibadian yang tinggi dalam bola sepak dunia.

"Kami melahirkan simpati atas kesedihan isterinya, Uschi, serta ahli keluarganya. Tanpa Gerd Muller, FC Bayern tidak akan menjadi kelab yang kita semua cintai seperti hari ini. Nama dan ingatannya terhadapnya akan terpahat buat selamanya."